PONTIAN, 23 November: Meskipun terpaksa berkerusi roda akibat kecederaan pada pergelangan kaki, Syasya Nasuha Zainal, 17, tetap bersemangat menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, di sini hari ini.
Anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan selepas terjatuh di kawasan Stadium Pontian, Sabtu lepas menyebabkan pergelangan kakinya bengkak dan tidak dapat berjalan.
Bagaimanapun, Syasya Nasuha yang hadir ditemani ibunya Mirul Fathiah Mustapha, 44, tetap bertekad menduduki kertas Bahasa Melayu bersama dengan rakan-rakannya, meskipun mempunyai pilihan untuk menjalani peperiksaan di hospital.
“Jika diikutkan, saya layak mendapat cuti sakit dan boleh menduduki SPM di hospital, tetapi saya beritahu doktor dan ibu mahu datang ke sekolah untuk menduduki peperiksaan bersama dengan rakan-rakan.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat hadir ke sekolah hari ini dan berharap dapat menjawab soalan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan Pengarah Pendidikan Johor Zulkurnain Abdul Rahman ke sekolah itu, hari ini.
Bukan sekadar diuji dengan kecederaan, Syasya Nasuha turut kehilangan insan tersayang apabila bapanya Zainal Hasbullah, 44, meninggal dunia pada 15 Sept, akibat komplikasi buah pinggang.
“Kehilangan ayah ketika SPM semakin hampir memang sangat memberi kesan kepada saya, kerana arwah banyak memberikan galakan untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“Saya sudah membuktikannya dalam peperiksaan percubaan sebelum ini dan mahu mengulangi kejayaan itu dalam SPM,” katanya.
Sementara itu, Mirul Fathiah berkata dia berbangga dengan ketabahan anak sulungnya yang tidak mudah berputus asa, meskipun berdepan kehilangan bapa dan kecederaan menjelang peperiksaan penting itu.
“Saya menghantar anak saya hari ini untuk memberikan semangat kepadanya dan berharap dia dapat menjawab soalan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Zulkurnain mengadakan tinjauan bagi memastikan kelancaran peperiksaan bertulis SPM di sekolah berkenaan, selain menyampaikan kit peperiksaan sumbangan Kerajaan Negeri Johor kepada 204 calon.
Beliau berkata sebanyak 51,371 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di Johor, membabitkan 367 pusat peperiksaan dengan 4,484 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
- Bernama




