KUCHING: Pengambilan guru di Sarawak untuk tahun ini telah meningkat dengan tambahan 2,180 calon guru, berbanding 1,140 kekosongan asal.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad, berkata usaha kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) telah menerima sambutan positif.
Menurutnya, ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga pendidik di negeri ini.
“Jumlah yang dipanggil temuduga saya difahamkan memang begitu ramai. Sepatutnya mencukupilah untuk keperluan bagi bulan November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Bagi Tahun 2023 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Padawan di Hotel Imperial di sini malam tadi.
Sementara itu, Dr Azhar berkata penganjuran majlis APC ini merupakan satu manifestasi keprihatinan terhadap penjawat awam yang berkualiti, dinamik dan berprestasi tinggi.
“Saya berharap agar pengiktirafan seumpama ini akan menjadi pembakar semangat dan pencetus azam bukan sahaja kepada penerima anugerah, malah juga kepada semua warga kerja PPD Padawan.
“Dengan pengiktirafan ini, diharapkan mereka akan terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 250 warga kerja PPD Padawan telah diberi pengiktirafan sebagai penerima APC bagi Tahun 2023. – Edisi UKAS