KDN arah semua agensi, jabatan perkukuh persiapan hadapi Monsun Timur Laut

Facebook
WhatsApp
KOMANDER Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Penguasa Kanan Bomba I Abdul Manaf Che Isa menyampaikan taklimat kepada anggota penyelamat yang akan melakukan latihan sebagai kesiapsiagaan menghadapi banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini. Anggota akan dilatih dengan teknik pengendalian bot, menangani kecemasan termasuk kerosakan enjin dan penggunaan peralatan menyelamat. Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Oktober: Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah untuk melaksanakan persiapan rapi aset dan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hujung bulan ini dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata langkah proaktif itu penting bagi memastikan tiada sebarang kelemahan teknikal mahupun operasi berlaku sekiranya bencana banjir melanda negara.

“Pastikan anggota-anggota kita terlatih dan peralatan yang boleh dipakai. Jangan ada bot yang bila hendak digunakan esok, enjinnya tidak boleh hidup.

“Jangan ada isu penyelarasan tentang siapa yang patut digerakkan atau bagaimana operasi hendak dijalankan. Semua ketua jabatan diminta mengambil kira perkara ini dari sekarang, jangan tunggu banjir sudah teruk baru kita hendak bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi KDN yang dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. 

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata MTL bagi musim 2026/2027 dijangka bermula 27 Oktober ini dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.

Mohd Hisham berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara.

Sementara itu, Awang Alik turut menekankan kepentingan usaha penjenamaan semula imej kementerian bagi membina keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan keselamatan serta penguatkuasaan negara.

Beliau berkata lima elemen utama perlu diberi perhatian oleh setiap warga kementerian, iaitu memastikan pengalaman rakyat yang positif melalui perkhidmatan cekap dan profesional, memperkukuh reputasi menerusi integriti dan ketelusan, konsistensi dalam pelaksanaan tatacara operasi piawai, penyampaian maklumat yang jelas serta menghormati identiti visual kementerian.

“Bila sekali rakyat mempunyai pengalaman yang buruk dengan kita, maka imej kita akan terjejas sampai bila-bila. Kita mahu masyarakat di luar sana percaya bahawa kementerian ini menawarkan mutu perkhidmatan yang telus, berintegriti tinggi dan tidak boleh diragukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua ketua jabatan menyemak semula Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing memandangkan tempoh pelaksanaan tahun ini hanya berbaki dua hingga tiga bulan.

“Pencapaian KPI adalah gambaran jelas terhadap kualiti perkhidmatan yang kita berikan kepada masyarakat. Jika gagal dicapai, bermakna kita gagal melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.- Bernama