SIBU, 29 Oktober: Keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan menjadi faktor utama dalam memastikan manfaat kemajuan Sarawak dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Mohamad Abdullah Izkandar Roseley berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen dalam memacu pembangunan negeri, meliputi aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kebajikan, pendigitalan dan kelestarian alam sekitar.
Beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Sumber Manusia berkata, setiap inisiatif perlu dinilai berdasarkan pencapaian serta impak sebenar terhadap kehidupan rakyat.
Mohamad Abdullah merupakan graduan Universiti Canterbury, Christchurch, New Zealand, dengan kelulusan Sarjana Muda Perdagangan (B.Com) dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Sumber Manusia.
Beliau turut melanjutkan pengajian pascasiswazah dalam bidang Kewangan dan Pengurusan di Universiti Lincoln, Christchurch, New Zealand.

Menurutnya, usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak, meningkatkan hasil negeri serta memperkukuh kedudukan ekonomi merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan dapat dirancang mengikut keperluan dan kepentingan rakyat.
Katanya, pembangunan infrastruktur termasuk bekalan air bersih, elektrik luar bandar, jalan raya dan jambatan perlu terus diberi perhatian bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Pembangunan yang baik bukan sekadar dilihat pada jumlah projek, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang, khususnya melalui pembaikan sekolah daif, bantuan pendidikan, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak.
Dalam aspek ekonomi, katanya, usaha menarik pelaburan, membangunkan ekonomi digital dan memperkasa usahawan tempatan perlu menghasilkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat serta membuka ruang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Pada masa sama, inisiatif kebajikan seperti bantuan ibu bersalin, Kad Emas Kenyalang dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak perlu dilaksanakan secara berkesan supaya golongan sasaran menerima manfaat sewajarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran utama adalah memastikan pelaksanaan setiap inisiatif berjalan mengikut perancangan, disokong penyelarasan berkesan antara agensi serta penggunaan peruntukan secara berhemah.
“Pemantauan yang telus, laporan kemajuan yang jelas dan penilaian berdasarkan hasil sebenar amat penting bagi memastikan setiap komitmen diterjemahkan kepada pencapaian.
“Perancangan yang baik perlu disusuli pelaksanaan berkesan supaya pembangunan Sarawak dapat dinikmati secara inklusif dan mampan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Oleh Akun Giman





