Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pengamal media hayati budaya Bidayuh menerusi pengalaman secara langsung di Kampung Mujat
  • Selatan
  • WILAYAH

Pengamal media hayati budaya Bidayuh menerusi pengalaman secara langsung di Kampung Mujat

Utusan Sarawak 8 hours ago
ROZLIN Rusharmeen Rosmin(lima kiri) dan pengamal media dari pelbagai agensi bergambar selepas tamat 
OooHaa Gawai Dayak AFFIN 2026 di Kampung Mujat, Tebedu, Serian, hari ini. 

SERIAN: Sekitar 27 pengamal media daripada 14 agensi media di Sarawak berpeluang menyelami keunikan budaya masyarakat Bidayuh secara langsung menerusi pelbagai demonstrasi adat, persembahan tarian tradisional dan penerangan mengenai warisan yang diwarisi turun-temurun di Kampung Mujat, Tebedu, hari ini.

Program yang berlangsung sempena OooHaa Gawai Dayak AFFIN 2026 itu membawa peserta mengenali lebih dekat adat resam masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong, sekali gus memberikan pengalaman pertama kepada sebahagian pengamal media menyaksikan sendiri amalan budaya yang selama ini hanya dibaca atau ditonton menerusi media.

Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah demonstrasi tarian tradisional Langgi Pingadap, yang lazimnya dipersembahkan bagi menyambut ketibaan tetamu kehormat ke rumah panjang sebagai simbol penghormatan masyarakat Bidayuh.

Peserta turut dipersembahkan dengan Langgi Julang, tarian tradisional yang jarang dipersembahkan kerana memerlukan penari bertubuh kecil dan ringan untuk menampilkan pergerakan yang menyerupai burung helang sedang terbang di udara, sekali gus memperlihatkan kemahiran serta keseimbangan penari.

Selain itu, pengamal media turut diberi penerangan mengenai Tarian Sirinde, antara tarian tertua masyarakat Bidayuh yang mempunyai nilai ritual tinggi dan dikaitkan dengan upacara pentahbisan Tukang Pancha atau Tukang Berih, iaitu individu yang berperanan sebagai bijak pandai adat dalam masyarakat Bidayuh.

Malah, peserta turut didedahkan dengan penerangan mengenai beberapa amalan adat seperti upacara Pemibil atau upacara penasihat kepada tetamu. 

Pengamal media turut menyaksikan kaedah penyediaan kepada pelbagai makanan tradisional masyarakat Bidayuh termasuk kuih keping, kuih cuan, kuih situtok dan sungkoi tungkus.

Salah seorang peserta, Rozlin Rusharmeen Rosmin, 30 yang bertugas sebagai pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai satu pengalaman yang membuka mata kerana berpeluang mengenali budaya masyarakat Bidayuh Serian, khususnya subetnik Bukar-Sadong, secara lebih dekat.

Anak kelahiran Kedah yang sudah menetap di Sarawak sejak empat tahun lalu itu berkata, walaupun sudah biasa melihat pakaian tradisional Bidayuh pada pelbagai majlis, ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan sendiri proses penyediaan makanan tradisional masyarakat berkenaan secara terperinci.

“Selama empat tahun berada di Sarawak, ini kali pertama saya dapat melihat sendiri bagaimana makanan tradisional Bidayuh disediakan, daripada ramuan yang digunakan sehinggalah kaedah memasaknya. 

“Pengalaman ini memang membuka mata kerana sebelum ini saya hanya melihat hasil akhirnya sahaja.

“Selain itu, penerangan yang diberikan mengenai setiap jenis tarian tradisional, termasuk asal usul, maksud dan fungsinya dalam adat resam masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong, benar-benar menarik dan memberi pemahaman yang lebih mendalam. 

“Bagi saya, pengalaman seperti ini sangat bermakna kerana ia membolehkan kami memahami budaya sesuatu komuniti secara langsung, bukan sekadar melalui pembacaan atau tontonan,” katanya.

Turut dikongsikan ialah sejarah Kampung Mujat yang terkenal sebagai perkampungan tradisional masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong, selain masih mengekalkan identiti rumah panjang, sawah padi serta amalan budaya yang terus dipelihara sehingga kini.

Program berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada pengamal media memahami warisan budaya masyarakat Bidayuh dengan lebih mendalam, malah memperkukuh peranan media dalam memperkenalkan kepelbagaian budaya Sarawak kepada masyarakat yang lebih luas.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Literasi kewangan benteng utama lindungi komuniti luar bandar daripada penipuan siber
Next: Tiada gangguan Operasi Loji Air Salim, bekalan air kekal selamat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.