Jambatan Mega Sarawak pelengkap jaringan pengangkutan darat

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Baharu Bandar Lawas yang kini dibuka kepada orang awam merintis era pembangunan di daerah ini dengan menyediakan laluan terus antara bahagian utara dan selatan bandar berkenaan. Foto Bernama

KUCHING, 29 November: Sungai yang membentuk corak penempatan, perdagangan dan menjadi nadi utama penghubung masyarakat di Sarawak sejak dahulu kini berubah wajah dengan pelbagai jambatan mega yang melengkapkan jaringan pengangkutan darat negeri itu.

Landskap itu berubah menerusi pelaksanaan 22 projek pembinaan jambatan bernilai hampir RM7 bilion oleh kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan 15 daripadanya telah disiapkan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Cassidy Morris berkata projek itu amat penting dalam menghubungkan kawasan penempatan serta melengkapkan rangkaian jalan pesisir negeri itu.

“Premier secara peribadi memaklumkan kepada kami kawasan strategik yang perlu dibina jambatan dan daripada situ, kita mengambil nasihat beliau melaksanakan projek berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebelum jambatan dibina, kebanyakan penduduk Sarawak bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai.

“Sudah tentu menggunakan feri ada banyak cabaran termasuk aspek keselamatan. Kita tidak boleh menggunakan feri pada waktu malam atau semasa cuaca kurang baik dan banyak juga insiden tidak diingini pernah berlaku,” katanya.

Cassidy berkata JKR Sarawak diberi mandat untuk melaksanakan 20 projek jambatan itu manakala dua lagi oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) serta Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

“Daripada 15 jambatan yang siap, 14 dilaksanakan oleh JKR Sarawak manakala satu oleh RECODA. Kita menjangkakan satu lagi (Jambatan Batang Saribas 2) siap pada hujung tahun ini.

“Kita lihat ini sebagai cabaran besar yang perlu kita hadapi kerana perlu membina 22 jambatan dalam tempoh lima hingga enam tahun,” katanya.

Cassidy berkata pelaksanaan pembinaan jambatan turut berhadapan pelbagai cabaran, terutamanya melibatkan faktor alam semula jadi seperti keadaan pasang surut serta arus sungai deras.

JAMBATAN Sejingkat yang kini dibuka kepada orang awam memperkukuh jaringan jalan raya sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara Kuching dengan Samarahan. Foto Bernama

Sebagai contoh, beliau berkata pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 di kawasan kuala sungai dengan keadaan arus yang deras serta perubahan paras air yang cepat.

“Pembinaan cerucuk di situ amat mencabar berikutan keadaan arus sungai dan pasang surut air selain cabaran COVID-19 yang menyebabkan kita menghadapi sedikit masalah untuk meneruskan projek,” katanya.

Cassidy berkata maklum balas dan tahap kepuasan penduduk setempat juga antara aspek diberi perhatian dalam menilai keberkesanan pelaksanaan projek jambatan.

Beliau berkata kemudahan jambatan yang siap mula memperlihatkan kesan terhadap aktiviti ekonomi serta peningkatan pergerakan orang ramai di kawasan terlibat.

“Sebagai contoh, di kawasan Jambatan Batang Lupar 1, kita melihat Pekan Sebuyau semakin sibuk. Begitu juga di Daro selepas penyiapan Jambatan Muara Lassa yang menyaksikan peningkatan kunjungan orang ramai,” katanya.

Jambatan yang siap dibina JKR Sarawak ialah Jambatan Marudi, Muara Lassa, Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman, Tun Taib Mahmud, Batang Saribas 1, Datuk Amar Juma’ani, Sebauh, Igan, Sungai Krian, Batang Lupar 1, Lingga, Batang Paloh, Sejingkat dan Batang Lupar 2.

Jambatan Bandar Lawas pula disiapkan oleh RECODA.

Agenda pembinaan jambatan mega menjadi projek infrastruktur penting dilaksanakan Kerajaan Negeri Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan penduduk negeri itu yang kini sedang berada dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Ketika Sarawak memasuki tempoh kempen, perubahan seperti itu memberikan konteks kepada pengundi untuk menilai pelaksanaan agenda pembangunan negeri, khususnya sejauh mana pelaburan infrastruktur diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. – Bernama