SIBU: Seramai 18 pengakap bersama dua pemimpin pengakap mewakili Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Sibu ke Jambori Pengakap Ke-15 di Pulau Pinang dari 29 Ogos hingga 4 September ini.
Rombongan berkenaan terdiri daripada pengakap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart dan SMK Tung Hua, serta dua pemimpin pengakap, Hu Toh Hua dan Kong Kim Fook.
Penyertaan itu memberi peluang kepada pengakap Sibu menimba pengalaman baharu, menguji Kemahiran serta membina keyakinan diri menerusi pelbagai aktiviti sepanjang tujuh hari program.
Jambori berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 5,400 peserta tempatan dan antarabangsa dari 11 negara, sekali gus menyediakan ruang kepada peserta mengukuhkan jaringan persahabatan dan pertukaran budaya.
Penasihat Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Sibu, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan pengerusinya, Edward Lau, petang semalam menyempurnakan upacara penyerahan bendera kepada rombongan sebagai simbol amanah dan semangat untuk membawa nama baik Sibu sepanjang menyertai jambori berkenaan.
Lau berkata, jambori itu menjadi platform terbaik untuk peserta meningkatkan kemahiran kepengakapan, selain berinteraksi dengan pengakap daripada pelbagai latar belakang.
Menurutnya, pengalaman berkenaan penting dalam membentuk generasi pengakap yang lebih terbuka, berkeyakinan serta mampu bekerjasama dengan orang lain.
Pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta kelestarian alam sekitar bakal dilaksanakan sepanjang program.
Antara pengisian yang dijadualkan termasuk Scout Skill Challenge, aktiviti ikhtiar hidup, pameran pelbagai agensi dan Merdeka Hike.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran kepengakapan, malah membentuk sikap berdikari, disiplin, kerjasama dan keupayaan menyelesaikan masalah.
“Jadikan jambori ini sebagai platform untuk menambah ilmu, membina persahabatan dan mencipta pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Pada masa sama, saya berharap para pengakap dapat menjaga disiplin, keselamatan dan nama baik Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Sibu sepanjang berada di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media, petang semalam.
Beliau berharap penyertaan berkenaan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda di Sibu untuk menyertai pergerakan pengakap dan memanfaatkan pelbagai program pembangunan sahsiah yang disediakan.
Katanya, aktiviti pengakap bukan sekadar melibatkan kemahiran luar, tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk nilai kepimpinan, tanggungjawab, persahabatan dan semangat berpasukan.
Lau berkata, pengalaman menyertai jambori juga diharap menjadi kenangan bermakna kepada peserta, selain membuka ruang kepada pertukaran budaya dan pengukuhan jaringan persahabatan dengan pengakap dari dalam dan luar negara.
“Semoga semua peserta dapat membawa pulang pengalaman, pengetahuan dan nilai positif untuk dikongsi bersama rakan-rakan pengakap lain di Sibu,” ujarnya.
Turut hadir Pesuruhjaya Daerah Sibu, Isabella Charles Leo.
Oleh Akun Giman



