SIBU: AirAsia Berhad meraikan penerbangan sulung pertamanya dari Singapura ke Sibu, hari ini.
Pesawat yang membawa 180 penumpang itu disambut dengan pancuran air ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu jam 6.17 petang tadi.
Ketibaan penumpang disambut meriah oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin bersama kalungan rantai manik dan muzik tradisional.
Dalam sidang medianya, Lee berkata, penerbangan terus dari Singapura ke Sibu beroperasi empat kali seminggu iaitu setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
“Kita semua tahu Singapura adalah hab serantau dan antarabangsa yang penting untuk kewangan dan perniagaan.
“Laluan dari Sibu serta dari Kuching dan Miri ke Singapura akan membolehkan akses terus kepada komuniti perniagaan tempatan ke arah pasaran sedia ada yang sangat menguntungkan untuk pertanian, perikanan dan produk makanan tempatan kita,” katanya.
Lee berkata, Sibu adalah pintu masuk ke Wilayah Tengah Sarawak dengan akses pengangkutan darat dan sungai yang mudah ke banyak bandar sekitar seperti Sarikei, Bintangor, Kapit dan Mukah.
“Pengembara boleh menerokai pelbagai aktiviti alam semula jadi dan sungai di sungai Rejang dan mengalami budaya hidup rumah panjang yang unik.
“Saya ingin menggalakkan lebih ramai usahawan dan komuniti perniagaan di Wilayah Tengah untuk merebut peluang ini bagi memasarkan produk mereka ke Singapura,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, Singapura adalah salah satu rakan dagangan utama Sarawak, di mana eksport Sarawak ke Singapura pada 2021 adalah RM1.28 bilion berbanding hanya RM1 bilion pada 2020.
“Import dari republik itu meningkat kepada RM1.7 bilion pada 2021 berbanding RM1.17 bilion pada tahun 2020.
“Walaupun bilangan pelawat dari Singapura ke Sarawak menurun dengan ketara akibat pandemik Covid-19 terutamanya pada 2020 dan 2021, Sarawak telah menerima 46,340 penumpang dari Januari hingga September 2022 melalui penerbangan Singapura-Sarawak ke Kuching dan Miri.
“Pada bulan-bulan akan datang, dengan penerbangan Singapura-Sibu, kami menjangkakan bilangan pengembara dan pelawat yang datang dari Singapura dan luar negara ke Sarawak akan meningkat,” katanya.
Bagi menyokong pergerakan orang ramai dan aktiviti industri, katanya, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga telah menulis dan mencadangkan kepada semua syarikat penerbangan yang berkhidmat di negeri ini untuk meningkatkan kekerapan penerbangan mereka dan terus menawarkan tambang penerbangan berpatutan.
“Ini kerana dengan kedatangan musim perayaan utama dan perayaan di Sarawak iaitu Krismas, Tahun Baru 2023 dan Tahun Baru Cina.
“Kami percaya ini akan membantu meringankan beban kewangan dihadapi orang ramai dan mengekalkan momentum untuk aktiviti pelancongan, pergerakan barangan dan orang ramai,” katanya.
Turut hadir ialah ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Kamaruzaman Razali serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
MENDARAT…. Pesawat Air Asia yang membawa 180 penumpang dari Singapura mendarat di Sibu petang tadi, di sambut dengan pancutan air di lapangan terbang.