Kanowit catat IPU sangat tidak sihat, lapan kawasan tidak sihat

Facebook
WhatsApp
KANOWIT mencatat bacaan IPU tertinggi di Sarawak iaitu 216 pada tahap sangat tidak sihat setakat 9.00 pagi hari ini.

KUCHING: Kanowit terus merekodkan kualiti udara paling terjejas di Sarawak apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 216, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat setakat 9.00 pagi hari ini.

Berdasarkan status IPU yang dipaparkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), lapan kawasan lain mencatat tahap tidak sihat dengan bacaan antara 148 hingga 180.

Lubok Antu merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 180, diikuti Serian 178, Kuching 166, Samarahan 165 dan Sri Aman 163.

Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Betong dengan bacaan 154, Belaga 151 dan Tebedu 148.

Sementara itu, Lundu mencatat IPU 96, Kapit (93), Sarikei (92), Bintulu (91), Sibu (88), Mukah dan Samalaju masing-masing (82), Miri (68), ILP Miri (66), Lawas (64) serta Limbang (63), kesemuanya pada tahap sederhana.

Bario pula menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan tahap baik dengan bacaan IPU 37.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 dikategorikan sangat tidak sihat.

IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.