KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan laporan sebuah agensi media nasional yang mendakwa Sarawak bakal mendapat tambahan 15 kerusi Parlimen, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi di negeri itu daripada 31 kepada 46.
Menurut laporan agensi berkenaan, cadangan itu dikatakan berdasarkan dokumen Kajian Semula Persempadanan (KSP) bahagian pilihan raya Sarawak dan bertujuan memastikan komposisi satu pertiga perwakilan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus menegaskan tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini, termasuk mana-mana bahagian pilihan raya seperti yang didakwa dalam laporan berkenaan yang merujuk kepada perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Untuk makluman, hanya syor KSP Negeri Sarawak Ke-7 telah disediakan oleh SPR dan kini sedang dipamerkan secara rasmi kepada orang ramai mulai 1 September hingga 30 September 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
SPR turut menyeru pihak media supaya sentiasa merujuk maklumat berkaitan KSP yang sahih dan tepat menerusi portal atau kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPR.
Laporan agensi media nasional itu sebelum ini turut mendakwa cadangan pertambahan kerusi berkenaan mengambil kira peningkatan jumlah pengundi di Sarawak.
Untuk rekod, Sarawak ketika ini mempunyai 31 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala Sabah mempunyai 25 kerusi. Gabungan kedua-dua negeri itu membentuk 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
Pada pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura bersama-sama mewakili kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala baki kerusi diperuntukkan kepada Tanah Melayu.
Selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, isu komposisi perwakilan Sabah dan Sarawak terus menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam konteks MA63.
Bagi Sarawak, persempadanan semula kawasan Parlimen kali terakhir dilaksanakan pada 2005, yang menyaksikan tiga kerusi baharu iaitu Igan, Sibuti dan Limbang diwujudkan, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi daripada 28 kepada 31.
Ketika ini, SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak Kali Ketujuh dari 1 hingga 30 September 2026 untuk semakan awam.





