Wanita tidak perlu takut ceburi politik, kata Nancy

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy ketika berucap pada Program Kepimpinan Wanita dan Pemimpin Akar Umbi Dayak dalam Tadbir Urus dan Pembuatan Keputusan serta Pembangunan Lestari di Dayak Chambers, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Wanita tidak seharusnya takut untuk menceburi bidang politik, sebaliknya perlu berani tampil mengambil peranan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Beliau berkata, penglibatan dalam politik tidak semestinya bermakna seseorang itu perlu mengejar jawatan tertentu, sebaliknya yang lebih penting ialah keupayaan untuk memimpin serta membantu memenuhi keperluan masyarakat.

“Apalah salahnya masuk politik, tidak ada masalah. Bagi saya, masuk politik atau masuk apa saja, yang penting dia mampu memimpin.

“Politik adalah mengenai bercakap dan menjaga rakyat, keperluan rakyat. Jadi itu mesti ada dalam perancangan kita, bagaimana kita melihat diri kita membantu orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kepimpinan Wanita dan Pemimpin Akar Umbi Dayak dalam Tadbir Urus dan Pembuatan Keputusan serta Pembangunan Lestari di Dayak Chambers, di sini, hari ini.

Menurut Nancy, program Perantis yang dilaksanakan kementeriannya menjadi platform untuk melatih, membimbing dan menyediakan lebih ramai wanita menyertai barisan kepimpinan, termasuk dalam bidang politik.

Katanya, peningkatan penyertaan wanita Sarawak dalam program berkenaan turut menunjukkan semakin ramai wanita tampil membina keyakinan dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab kepimpinan.

“Apabila wanita mempunyai hala tuju yang jelas, maka kita akan melihat lebih ramai wanita berada dalam barisan kepimpinan dan terlibat sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Nancy turut berkongsi pengalaman ketika mula memegang jawatan kepimpinan, apabila beliau sendiri pernah berasa kurang yakin untuk tampil bercakap di hadapan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, keyakinan itu mula dibina apabila beliau melihat lebih ramai wanita berani tampil mengemukakan soalan dan menyuarakan pandangan.

“Apabila kita sudah berani duduk bersama dan berbincang perkara yang bermakna, itu sebenarnya satu langkah ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata usaha memperkasakan wanita perlu turut memberi penekanan kepada aspek ekonomi supaya mereka mampu berdikari serta membantu meningkatkan taraf hidup keluarga.

Beliau berkata wanita perlu memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan, membuka peluang pekerjaan dan mengembangkan perniagaan.