TANJUNG MANIS: Seramai 158 penerima dari kalangan penduduk di Stalun menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Dewan Masyarakat Stalun, pada Ahad lepas.
Hadir untuk menjalankan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Dewan Masyarakat Stalun pada hari tersebut ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, dan Ahli Parlimen P206 Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Len Talif berkata, Stalun merupakan salah sebuah lagi PPV daerah Tanjung Manis yang dibuka sebagai tambahan bagi meningkatkan jumlah pemberian suntikan vaksin kepada rakyat luar bandar serta mengurangkan pergerakan, penjimatan masa dan belanja mereka untuk menerima suntikan vaksin.
“Inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar, malahan dapat memastikan tiada dalam kalangan mereka yang ketinggalan untuk menerima suntikan tersebut.
“Usaha ini juga dapat membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, kesemua penduduk di Stalun yang menerima suntikan dos pertama ini ialah dari kalangan masyarakat Iban.
“Penerimaan suntikan vaksin dalam kalangan penduduk tempatan di sini amat menggalakkan.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua penduduk yang hadir untuk menerima suntikan vaksin.
“Harapan kita, sasaran mencapai imuniti kelompok pada Ogos ini akan tercapai,” ujarnya.
Turut hadir semasa tinjauan tersebut ialah Residen Mukah, Hamdiah Bakir, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Pemanca Morshidi Moris, Penghulu Kalali Klen dan Penghulu Maoh Bohom.
Oleh EARL ANEK