SIMANGGANG: Rakyat dari kawasan pedalaman Sri Aman dinasihat agar bertindak mendekatkan diri dengan siaran radio tempatan kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, tindakan berkenaan penting agar mereka dapat mengetahui maklumat terkini mengenai jadual perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kawasan masing-masing.
“Kelemahan liputan rangkaian telekomunikasi menyebabkan rakyat kawasan pedalaman yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 bersempena program itu sukar dihubungi oleh agensi kerajaan sebelum ini.
“Justeru, radio menjadi medium terbaik bagi tujuan ini. Pastikan anda (rakyat kawasan pedalaman) rajin mendengar siaran radio untuk mengetahui status masing-masing bagi tujuan program itu dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Harden ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Suarah Sri Aman di sini turut memohon Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar sering memantau kehadiran orang luar ke penempatan mereka.
Menurut beliau, tindakan JKKK berhubung perkara itu penting agar orang luar tidak membawa virus Covid-19 ke dalam penempatan mereka sehingga mencetuskan kluster baharu.
“Saya juga memohon bantuan JKKK untuk menerangkan kepada anak buah mereka mengenai kepentingan suntikan vaksin Covid-19 yang berperanan dalam meningkatkan imunisasi tubuh bagi melawan serangan virus itu.
“Justeru, saya berharap agar JKKK dapat bertindak serius berhubung perkara ini demi membantu kerajaan melawan penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan rakyat di Sri Aman sepanjang waktu sukar ini,” kata Harden.
Terdahulu, beliau menerusi lawatannya di PPV Dewan Suarah Sri Aman bersempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimaklumkan bahawa sejumlah 1,602 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sejak 3 Jun lepas hingga semalam.
Oleh VALENTINE NGUMBANG