SENAMAN AEROBIK… Abang Mohamad Porkan bersenam aerobik bersama para peserta yang hadir di Program
Ikonik Aerobik Bersama Sifu Busman.
HARI Sukan Negara merupakan hari yang diilhamkan sebagai hari ikonik tahunan kepada rakyat Malaysia.
Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman percaya ia tentunya hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat kerana pada kebiasaannya pelbagai aktiviti dan acara sukan, akan diadakan dengan penuh meriah.
“Bagi sambutan di Bahagian Sarikei, Jawatankuasa Sambutan Hari Sukan Negara telah merangka berbagai program yang telah pun diadakan bermula pada 1 Oktober 2022.
“Antara aktiviti sambutan ialah Kembara Explorasi Bukit Kayu Malam, Jogathon PIBG NeSS, futsal, Program 1 Murid 1 Sukan, PERBASA 50KM Endurance Challenge, Women Fit @ Community, Ping Pong MAKSAK, Webinar ‘beribadah sambil bersukan’, khutbah Jumaat sempena Hari Sukan Negara dan pertandingan bola Keranjang.
“Kemuncak kepada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 ialah acara perasmian pada hari ini dan Program Ikonik Aerobik Bersama Sifu Busman sebentar lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian sambutan HSN 2022 Peringkat Bahagian Sarikei bertempat di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, pagi semalam.
Justeru itu, beliau menggesa masyarakat khususnya warga Bahagian Sarikei supaya berilah sokongan terhadap program ini dan sama-sama menyahut semangat HSN dengan mengadakan aktiviti sukan di kawasan kediaman dan komuniti masing-masing secara individu atau berkumpulan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya apa juga aktiviti sukan yang dilakukan, perlu berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang sedang berkuat kuasa.
“Fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang mana boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Walaupun sudah ada banyak kelonggaran berkenaan SOP dalam fasa peralihan ke endemik, jangan kita merasa terlalu selesa sehingga leka atau terlupa bahawa kita masih berdepan situasi krisis kesihatan.
“Jaga diri dan keluarga supaya penularan wabak Covid-19 dapat sama-sama kita hentikan sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.
“Sejak berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara.
“Sukan telah mengikat kita sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang. Sukan telah menyatukan kita merentasi garis-garis kaum dan agama,” katanya lagi.
Oleh itu, ujarnya, jangan sesekali mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif.
“Jadikan sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu dan saling memahami. Jadikan sukan sebagai pentas untuk kita sama-sama mengharumkan nama negara.
“Seperti semua sedia maklum, beberapa orang atlet negara dari Bahagian Sarikei seperti Jacky Wong, Grace Wong dan Queenie Ting telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan mereka amat bermakna buat kita semua kerana mereka merupakan atlet yang berasal dari Sarikei dan secara tidak langsung telah mengharumkan nama Sarikei,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan pencapaian atlet-atlet ini akan menjadi pembakar semangat terutamanya kepada anak-anak muda bahawa sukan adalah kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi diri, keluarga dan negara.
Oleh EARL ANEK