SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang menasihatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa mendaftar untuk Sarawak ID atau e-dompet S Pay Global bagi menerima Skim Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Beliau menegaskan bahawa SKAS dibuka sepanjang tahun, dan mereka yang layak boleh menuntut bantuan ini pada bila-bila masa tahun ini.
“Tambahan pula, bantuan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun S Pay Global penerima mulai 18 Februari.
“Penerima yang layak akan menerima bantuan ini sekali sahaja setahun, jadi tiada keperluan untuk tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Literasi Kesihatan Mental Komuniti di Gereja Methodist Masland di sini, baru-baru ini.
Mengulas keadaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu, Tiang berkata ramai yang tergesa-gesa mendaftar sehingga menyebabkan keadaan sesak.
“Kita harus belajar daripada pandemik Covid-19. Apabila sesuatu tempat terlalu sesak, ia tidak baik. Tambahan pula, kini banyak kes selesema dan demam. Ia tidak digalakkan,” katanya.
Tiang juga memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi pihak berkuasa berkaitan, yang menyedari insiden di UTC Sibu itu, dan mendapati situasi serupa turut berlaku di kawasan lain di negeri ini.
“Mereka (pihak berkuasa) telah memutuskan untuk menghantar pasukan teknikal ke semua bandar utama di Sarawak untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dengan pendaftaran S Pay Global dan menyelesaikan beberapa isu teknikal,” tambahnya.
Beliau turut memberitahu bahawa orang ramai boleh mendapatkan bantuan berkaitan SKAS di mana-mana cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan pusat perkhidmatan wakil rakyat.
“Kami bersedia membantu tanpa mengira dari mana mereka datang. Orang ramai boleh mendapatkan bantuan di mana-mana pusat perkhidmatan wakil rakyat SUPP, seperti Pusat Perkhidmatan Pelawan saya atau Pusat Perkhidmatan Bukit Assek, dan sebagainya.
“(Walaupun) jika anda dari Kapit, anda juga boleh datang ke pusat perkhidmatan saya. Tiada masalah langsung. Jadi, tiada keperluan untuk tergesa-gesa mendaftar, terutama kepada mereka dari kawasan luar bandar,” kata Tiang.
Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur Kapitan So Teck Kee, dan Guru Besar SJK Methodist David Tong Diung Ong.
Oleh Tarani Lanting