SIBURAN: Jabatan Tanah Sarawak (JTS) mempunyai formula untuk mempercepatkan proses pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di sini tanpa ada perselisihan.
Menurut Pengarah JTS, Abdullah Julaihi, cabaran utama ialah sempadan perlu ditentukan oleh penuntut tanah NCR dan fokus dengan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 400 meter persegi untuk satu pasukan dalam masa sehari.
“Kita amat gembira kerana ada pasukan yang berupaya mencapai 600 meter persegi dalam masa sehari, namun tertakluk kepada keadaan jika tiada perselisihan antara pemilik tanah yang lain.
“Jika tiada sebarang masalah, kita dapat menyiapkan proses ukur sempadan tanah dalam masa sebulan untuk satu kampung dan ini merupakan pencapaian yang amat baik,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Dewan Terbuka Kampung Sinjok di sini semalam.
Timbalan Ketua Menteri yang Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga berkata melalui inisiatif baharu yang dilaksanakan pada tahun 2010 JTS berjaya menyukat lebih kurang 950,000 hektar tanah NCR sehingga kini.
“Jumlah sukatan tanah yang telah berjaya dilakukan kini amat berbeza sebelum inisiatif baharu ini dilaksanakan di mana sebelum tahun 2010, lebih kurang 260,000 hektar tanah yang berjaya disukat dalam masa 60 tahun.
“Cara dahulu amat lambat dan ramai orang yang memohon tidak sempat untuk merasai hak mereka dan kita sebagai kerajaan harus memikirkan cara untuk memudahkan permohonan rakyat supaya mereka tidak perlu menunggu begitu lama,” jelasnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Dayak Bidayuh Nasional (DBNA) kerana turut membantu untuk mempermudahkan urusan penyukatan tanah di kawasan penduduk kaum Bidayuh.
Oleh ASYRAF HALIM