BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan mengedar 80.36 kilogram (kg) Syabu bernilai RM4.02 juta yang disembunyikan dalam bungkusan diikrarkan sebagai ‘Tofu Cat Litter’.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan pada 28 Ogos itu merupakan rampasan dadah terbesar direkodkan JKDM Sarawak untuk tahun ini.
Menurutnya, kejayaan berkenaan hasil kerjasama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu, Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM berdasarkan maklumat risikan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai Kastam menjalankan pemantauan terhadap beberapa bungkusan yang dihantar ke sebuah premis di Bandar Bintulu kerana disyaki mengandungi dadah berbahaya.

“Pemantauan dan intipan dijalankan selama 12 hari, namun tiada pihak tampil membuat tuntutan terhadap bungkusan berkenaan,” katanya pada sidang media di JKDM Cawangan Penguatkuasaan Kampung Jepak di sini, hari ini.
Pemeriksaan lanjut, kata beliau, mendapati bungkusan berkenaan mengandungi ketulan mampat disyaki syabu seberat 80,356.33 gram, dengan anggaran nilai RM4,017,816.50.
Modus operandi sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk membawa bahan narkotik ke Bintulu, Sarawak dengan mengikrarkan bungkusan sebagai barangan dagangan.
“Mereka turut menggunakan maklumat penerima yang dipercayai tidak wujud bagi mengelakkan kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa,” ujar Norizan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, manakala hukuman penjara seumur hidup turut dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Dalam pada itu, Norizan turut menggesa orang awam membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan dengan menyalurkan maklumat menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.
Oleh Carolyne Utih




