MIRI: Tidak sanggup menjual buah isu pada harga terlalu rendah, seorang lelaki memilih untuk mengagihkan hasil tanaman itu secara percuma kepada rakan-rakannya.
Perkara itu dikongsikan Stephen Lakoi menerusi laman Facebook Marudi Community, semalam.
Menerusi hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa harga buah isu yang terlalu murah menyebabkan dirinya mengambil keputusan untuk tidak menjual hasil berkenaan, sebaliknya memberikannya kepada rakan-rakan untuk dinikmati bersama.
“Harga terlalu murah, tak jual. Kasih “free” (percuma) sama kawan, hati rasa puas,” katanya.
Gambar yang dikongsikan memaparkan sejumlah buah isu yang dikumpulkan berhampiran sebuah bakul tradisional.
Harga buah isu kini dijual sekitar RM1 hingga RM5 sebijin atau RM20 bagi satu setompok.
Keadaan itu berbeza dengan harga biasa buah isu yang boleh mencecah sekitar RM45 sekilogram, sekali gus menunjukkan penurunan ketara berbanding harga kebiasaan.
Oleh Liong Chai Ling




