DEBAK: Penantian penduduk serta warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas untuk melihat sebuah bangunan sekolah baharu dibina akan berakhir apabila pembinaannya hampir siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, dengan kos keseluruhan sebanyak RM12 juta, projek pembinaan bangunan baharu SMK Saribas ini akan memberi ruang lebih baik, dan kondusif kepada para pelajar serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.
“Bangunan baharu yang lebih moden ini diharap dapat menjadi tempat lebih sesuai bagi guru, dan pelajar untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan lebih berkesan, dan berkualiti.
“Projek pembinaan sekolah ini, salah satu langkah besar dalam memastikan SMK Saribas terus maju dan berkembang.
“SMK Saribas telah menjadi sebuah institusi pendidikan yang melahirkan ramai pelajar cemerlang, dan bangunan baharu ini diharap dapat memberi kemudahan lebih baik untuk mereka mencapai kejayaan lebih tinggi lagi.
“Sebagai wakil rakyat, saya berasa bertanggungjawab untuk memastikan pendidikan di kawasan Saribas terus berkembang,” katanya.
Mengulas lanjut, Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, pada 2013, beliau telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan bangunan baharu bagi SMK Saribas.
Usaha ini, katanya, sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan Saribas, dan memberikan kemudahan terbaik kepada pelajar-pelajar di kawasan tersebut.
“Kini, setelah hampir lebih sedekad berlalu, permohonan tersebut telah berjaya mendapat peruntukan berjumlah keseluruhan RM12 juta, dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya.
Razi berkata, SMK Saribas telah mengalami transformasi yang ketara, termasuk dalam hal meningkatkan pencapaian akademik. Banyak pelajar cemerlang dari SMK Saribas telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara, serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Kejayaan ini tidak dapat dipisahkan daripada visi dan usaha gigih beliau yang sentiasa memastikan pendidikan di kawasan Saribas mendapat perhatian yang sewajarnya. Beliau yakin, apabila siapnya bangunan baharu sekolah itu nanti, SMK Saribas akan terus menjadi salah satu institusi pendidikan yang unggul di Sarawak.
“SMK Saribas pastinya akan terus menjadi pilihan utama bagi ibu bapa yang ingin memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.
“Projek pembinaan bangunan baru SMK Saribas ini adalah contoh nyata dari usaha dan komitmen kita dalam memastikan bahawa setiap pelajar di kawasan Saribas mendapat pendidikan yang berkualiti, di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka berjaya.
“Kejayaan pelajar SMK Saribas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah bukti bahawa dengan sokongan yang tepat, mereka mampu mencatatkan pencapaian yang membanggakan, dan sekolah ini akan terus melahirkan pelajar cemerlang pada masa hadapan,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman