BAU: Kecuaian seorang pemilik kedai makan menimbulkan panik apabila kedai makan miliknya hampir terjejas akibat tindakannya yang meninggalkan periuk masakan tanpa pengawasan di Sin Chan Hiong Food Shop di sini, semalam.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi(PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 10.12 malam sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.
Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan memang benar ada asap keluar dari bangunan kedai seperti yang dilaporkan.
”Siasatan awal mendapati asap yang keluar dari bangunan kedai makan adalah berpunca daripada periuk masakan yang ditinggalkan oleh pemilik tanpa pengawasan semasa keluar ke pasar.
”Bagaimanapun, pemilik kedai sempat kembali ke kedai sebelum api menjejaskan struktur bangunan kedai setelah dia dihubungi oleh jiran.
”Pemilik kemudian bertindak menutup api dapur gas dan membawa keluar periuk masakan yang hangus terbakar ke belakang kedai sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang struktur bangunan kedai atau kecederaan dan tiada operasi pemadaman dijalankan.
PKO hanya membuat pemantauan du lokasi untuk memastikan keadaan kembali selamat sepenuhnya sebelum menamatkan operasi pada 10.33 malam.