
ENGKILILI: Projek pembinaan jambatan konkrit di Merio menyeberangi Sungai Batang Ai ke Pekan Engkilili yang bernilai RM16 juta akan bermula tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menyatakan, projek tersebut yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas itu, kini sedang dalam proses akhir sebelum ditender.
“Kita ada berita baik, yang mana projek pembinaan jambatan konkrit di Merio menyeberangi Sungai Batang Ai ke Pekan Engkilili dengan kos lebih kurang RM16 juta akan bermula tidak lama lagi.
“Projek jambatan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2024 tetapi disebabkan permasalahan tapak pada waktu itu terpaksa ditangguhkan. Tetapi kini, menurut maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada saya ia sedang dalam proses akhir sebelum tender dikeluarkan,” katanya.
Rayong berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-29 Rumah Panjang Ganji Bilan Di Merio Sedan, Engkilili, petang semalam.
Selain itu kata Rayong, jalan raya dari Merio menuju ke jambatan itu juga kelak akan dinaik taraf di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).
“Jadi, inilah buktinya bahawa kawasan di Merio selama ini tidak pernah dipinggirkan daripada arus pembangunan sejak saya menjadi wakil rakyat di Engkilili ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, Rayong sekali lagi menggesa kepada penduduk di Engkilili agar tidak terpedaya dengan dakyah dan penyebaran berita palsu oleh sesetengah pihak yang menyatakan beliau adalah bukan wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Engkilili.
“Ini jelas satu taktik kotor untuk mengelirukan kamu (rakyat) semua di Engkilili, kerana apa yang pasti dan jelas bahawa saya merupakan wakil rakyat daripada GPS daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Kalau saya bukan wakil rakyat GPS macam mana saya boleh mendapat peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan banyak lagi seumpamanya daripada kerajaan Sarawak.
“Seperti yang anda nampak pada hari ini pun saya sampaikan sumbangan MRP kepada penerima di sini, apakah itu bukan petanda yang jelas bahawa saya adalah wakil rakyat GPS di Engkilili?,” ujarnya.
Pada majlis itu, Rayong turut mengumumkan projek RTP berjumlah RM175,000 kepada Rumah Ganji Bilan di Merio Sedan bagi menaik taraf rumah panjang mereka.
Tidak cukup dengan itu, Rayong turut meluluskan peruntukan masing-masingnya sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Ganji Bilan.
Oleh Adi Saparman