SIMANGGANG: Pembinaan projek Jambatan Batang 1 bernilai RM848 juta di sini mungkin boleh siap lebih awal, tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata hasil pemantauannya sebelum ini mendapati proses pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 5.1 kilometer itu kini sudah mencapai tahap separuh siap dengan projek itu pada asalnya dijangka siap pada 6 Januari 2025.
“Mungkin 2025 adalah jangkaan siap keseluruhan bagi projek ini untuk kawasan Batang Lupar kerana ia turut melibatkan kerja pembinaan jalan dari kedua-dua arah jambatan berkenaan.
“Namun untuk jalan Lingga ke Sebuyau, saya sasarkan siap pada 2024. Apabila siap nanti, Jalan Lingga-Sri Aman-Betong akan menjadi laluan utama dengan projek ini dianggap sebagai salah satu projek terhebat yang diberi oleh kerajaan kepada kita di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah hotel di sini hari ini.
Dayang Noorazah juga berkata, beliau ada menerima rungutan daripada penduduk dari kawasan Bakong dan Kampung Hilir yang khuatir akan berlaku kesesakan apabila Jalan Sri Aman-Betong sudah menjadi laluan utama nanti.
“Bagaimanapun rungutan mereka bukanlah atas dasar pembangunan. Penduduk di kawasan itu lebih risau terhadap kesesakan. Perkara ini akan saya bincangkan bersama Residen sebelum ia menjadi satu isu,” katanya.
Hadir sama Penasihat Khas kepada Premier Sarawak, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, Temenggung Kueh Aik Seng, Penghulu Kang Tai Kong, Kapitan Robin Hii Ngiik Chuang dan Kapitan Kuek Sai Kiong.
Majlis itu dianjur bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Pasar Lingga, JKKK Cina Pasir Panas dan Soon Heng Benevolent Lingga.
Majlis turut diserikan lagi dengan upacara ‘Chai Chim’, menggaul Yee Sang, cabutan bertuah dan penyampaian angpau serta hamper makanan terhadap warga-warga emas yang hadir di situ.
Oleh VALENTINE NGUMBANG