MULU: Kerajaan akan meneruskan rancangan pembinaan jalan dari Miri ke Marudi terus ke Long Terawan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pembinaan jalan tersebut yang dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang dijangka akan memacu pembangunan yang lebih pesat terutama di Ulu Baram.
“Ini (jalan) sudah kita buat. Jadi, dari Marudi hingga ke sitok bukan dekat. Kelak ada sahaja orang madah apa Abang Jo madah, tak ada jalan tok.
“ Tukang sihir tok banyak gilak, di pusing-pusing sidak nya. Tetapi saya madah dengan kitak, tok dah masuk program, kita bangunkan jalan terus ke Long Terawan.
“Dari Long Terawan ada lagi program (bina jalan). Tetapi sik saya padah di sitok,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) di Long Terawan di sini, semalam.
Menurutnya, dengan siapnya jalan berkenaan kelak secara tidak langsung ia akan memperkasa usaha memajukan kegiatan pertanian dan memperhebatkan lagi sektor pelancongan di Baram.
Penduduk dari Long Terawan pula boleh pergi ke mana-mana sahaja menggunakan jalan perhubungan darat bukan sahaja ke Miri atau Bintulu malah boleh menggunakan jalan pesisir pantai dan Lebuh Raya Pan Borneo ke seluruh pelosok Sarawak.
Justeru, beliau menggesa warga Baram agar terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Dato Gerawat Gala pada pilihan raya yang akan datang.
“Adalah nak dipolah saya, suruh saya menang dulu (pilihan raya negeri). Kita sokong Gerawat, kalau kita menang barulah kita dapat majukan kawasan masing-masing.
“Jangan tanya saya, bila beduk besar… kita kini dalam darurat, di bawah pemerintahan Agong jadi terpulang kepada Agong,” katanya.
Turut hadir, Gerawat Gala, Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Morshidi Abdul Ghani.
Oleh ANTHONY PUNAN / ADUM LIU