SIBU: Pembinaan baharu Pasar Sungai Merah yang lebih moden dan luas memberikan manfaat besar kepada peniaga serta pengunjung.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek bernilai RM8 juta ini telah berjaya menyediakan ruang perniagaan yang lebih kondusif serta pengalaman yang lebih selesa bagi pengunjung.
“Pasar baharu ini dilengkapi dengan ruang tambahan dan gerai kekal, membolehkan operasi dijalankan lebih lama, termasuk pada waktu malam.
“Dengan itu peniaga kini boleh mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi bagi memberi peluang kepada pelanggan menikmati hidangan malam di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pra-pelancaran Pasar Sungai Merah, hari ini.
Menurutnya, peniaga mula berpindah pada 22 November dan kebanyakan peniaga yang telah berpindah ke pasar baharu melaporkan peningkatan sambutan pelanggan.
“Contohnya, beberapa gerai seperti gerai mi kampua telah habis terjual seawal 11.00 pagi. Ini adalah permulaan yang sangat baik,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu.
Beliau turut memuji ketabahan peniaga yang telah menghadapi cabaran semasa dipindahkan ke lokasi sementara di Riverside selama dua tahun.
“Kini, mereka kembali ke lokasi tetap yang lebih baik, lengkap dengan kemudahan moden dan ruang yang lebih luas. Masalah seperti kebocoran bumbung juga telah diselesaikan,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa projek ini mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MPS yang telah bekerja keras dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan. Pasar ini telah diatur dengan sangat rapi dan estetik,” tambah Tiang.
Tiang juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang membangunkan galeri nostalgia yang akan mengimbau kenangan pasar lama sebagai penghargaan terhadap sejarah kawasan ini.
Sehubungan itu, Tiang berharap pasar baharu ini akan menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan masyarakat.
“Saya yakin ini hanyalah permulaan. Kami akan terus memperkenalkan projek baharu untuk merancakkan ekonomi setempat dan meningkatkan daya tarikan kawasan ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting