KUCHING: Pemberian akses yang saksama kepada ubat-ubatan kekal sebagai salah satu cabaran terbesar dalam kesihatan global, kata Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata kerajaan Sarawak terus berdedikasi dalam memastikan akses kepada penjagaan kesihatan sampai ke setiap pelosok di negeri ini.
“Pelbagai usaha telah dibuat untuk meningkatkan kebolehcapaian penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dan terpencil seperti penubuhan klinik komuniti dan unit kesihatan bergerak.
“Inisiatif ini adalah penting dalam merapatkan jurang antara perkhidmatan penjagaan kesihatan bandar dan luar bandar, memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan tanpa mengira lokasi mereka.
“Namun demikian, memastikan akses yang saksama kepada ubat-ubatan kekal sebagai salah satu cabaran terbesar dalam kesihatan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng pada majlis perasmian Jurnal Polisi Dan Amalan Farmaseutikal-Persidangan Farmasi Antarabangsa Borneo (1st Journal of Pharmaceutical Policy and Practice-Borneo International Pharmaceutical) (JOPP-BIPC) 2024 di sini, hari ini.
Justeru itu, katanya, penyelidikan dalam dasar farmaseutikal adalah penting untuk membimbing pembangunan dan pelaksanaan dasar berkesan yang mengimbangi inovasi, kos dan akses.
“Kajian terkini memfokuskan pada menilai kesan model penentuan harga yang berbeza, seperti penetapan harga berasaskan nilai, yang mengikat kos ubat dengan faedah yang diberikannya.
“Sejajar dengan perkembangan inovasi masa kini, kita mesti menangani jurang dalam akses kepada rawatan baharu.
“Banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana masih menghadapi halangan disebabkan kos yang tinggi, isu rantaian bekalan dan infrastruktur penjagaan kesihatan yang terhad,” tambahnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Jabatan Kesihatan Sarawak Nor Anizah Osman, Ketua Pengarang Jurnal Dasar Farmaseutikal dan Pengerusi Penganjur Amalan Jurnal Dasar dan Amalan Farmaseutikal Pertama JOPPP-BIPC 2024 Profesor Zaheer-Ud-Din Babar, Pengerusi JOPPP-BIPC 2024, Dr. Samuel Ting Chuo Yew dan Pengerusi Penganjur Bahagian Perkhidmatan Farmasi Sarawak Stephen Moses.
Oleh Rynna Sha’erra