
SARATOK: Pembangunan secara inklusif menyebabkan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata peruntukan yang besar telah disalurkan untuk bahagian itu yang merangkumi pembangunan infrastruktur, sosial, pelancongan, pembangunan bangunan dan usahawan, utiliti serta sektor pertanian.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai banyak perancangan jangka panjang untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan luar bandar, terutamanya di Kalaka sendiri.
“Usaha kerajaan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan sosial, sekolah, rumah ibadat dan banyak lagi ini telah membolehkan masyarakat di DUN Kalaka amnya telah menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Melalui BDDA, banyak perancangan yang telah dicadangkan untuk membangunkan DUN Kalaka, saya yakin kawasan ini akan membangun seperti daerah-daerah lain,” katanya semasa menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Daerah Saratok dan Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu di sini, semalam.
Mohamad Duri berkata baru-baru ini, BDDA telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10.72 juta bagi pelaksanaan empat projek pembangunan di DUN Kalaka.


Empat projek tersebut ialah kerja-kerja menaik taraf pintu air di Kampung Kupang, naik taraf pintu air di Kampung Perpat Kabong, naik taraf pintu air di Kampung Paloh Kabong dan naik taraf jalan pertanian serta kerja-kerja berkaitan di kawasan Sungai Tali Paun, seberang Pekan Saratok.
“Semua kontraktor telah dilantik oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pelaksanaan empat projek terbabit. Naik taraf jalan ban dan pintu air akan dapat mengatasi kekangan bajet pihak DID dan juga agensi Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi kerja naik taraf berkenaan.
“Justeru, pekebun kecil kini boleh menarik nafas lega kerana jalan ban dan pintu air akan dibaik pulih sepenuhnya melalui projek tersebut,” katanya.

Mohamad Duri menambah, bagi kerja-kerja naik taraf kawasan Skim JPS Pagan dan Skim IADA Sungai Rembus, pihak JPS akan melaksanakan proses tender dalam masa terdekat, tahun ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok Mohammad Dino Amid, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Nanga Budu Hatta Adenan, Pemanca Lim Guan Ann Pemanca Sahari Gani dan Kapitan Gan Eng Kie.
Oleh Adi Safarman