LAWAS: Pusat Informasi Pelancongan di Kampung Paterikan berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan aktiviti eko pelancongan serta meningkatkan peluang ekonomi masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata penduduk kampung perlu berani menceburi bidang baharu berkaitan eko pelancongan bagi memanfaatkan potensi kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kawasan di sepanjang Sungai Paterikan mempunyai kepelbagaian biodiversiti dan tarikan semula jadi, termasuk monyet belanda, kunang-kunang serta pelbagai spesies yang jarang ditemui di kawasan lain.
“Kawasan ini begitu kaya dengan biodiversiti. Jadi, kalau kita boleh bangunkan aktiviti seperti pelayaran sungai, ia akan dapat meningkatkan pendapatan masyarakat kita.

“Saya berharap projek ini akan memberi manfaat. Kita mengucapkan terima kasih kepada NRDA kerana projek ini yang sudah lama tergendala kini hampir 99 peratus siap dari segi kemajuan.
“Ini akan memberi manfaat kepada masyarakat. Bagaimana kita menguruskannya nanti akan kita bincangkan. Kalau orang kampung mampu menguruskannya, kita beri peluang kepada mereka.
“Apa yang penting, projek ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat kita melaksanakan aktiviti ekonomi dan ia berkait rapat dengan eko pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Informasi Pelancongan di Kampung Paterikan, Merapok Laut, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata penglibatan masyarakat setempat dalam menguruskan pusat berkenaan juga boleh membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta kenamaan tempatan lain.
Oleh Adeng Edrus





