SONG: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika mencari daun sabung bersama abang iparnya di kawasan hutan Ulu Sebuloh, Nanga Temalat, semalam.
Mangsa yang berusia 51, dilaporkan masih belum ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sehingga petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan mangsa bersama abang iparnya masuk ke kawasan hutan berkenaan kira-kira 7.00 pagi semalam untuk mencari daun sabung dengan berjalan kaki.
Selepas selesai mengutip daun berkenaan kira-kira 4.00 petang, mangsa mengadu sakit perut dan meminta izin untuk mencari tempat bagi membuang air besar.
Abang ipar mangsa kemudian menunggu lebih dua jam sebelum mencarinya sambil memanggil nama mangsa, namun gagal menemui lelaki berkenaan.
Beliau kemudiannya pulang ke rumah panjang kira-kira 6.00 petang dan memaklumkan kejadian itu kepada penduduk.

Pada 7.00 pagi tadi, empat penduduk rumah panjang turut menjalankan pencarian di kawasan berkenaan, namun mangsa masih gagal ditemui.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song tiba di lokasi kira-kira jam 4.19 petang sebelum operasi SAR dimulakan bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Pasukan SAR menjalankan pencarian dalam radius kira-kira tiga kilometer di kawasan hutan, namun tidak menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa.
Lokasi kejadian hanya boleh diakses melalui jalan darat dengan menyusuri jalan hutan dari simpang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat, dengan perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam.
Operasi yang disertai enam anggota bomba menggunakan sebuah kenderaan utiliti (CFRT), selain lima anggota polis, lima anggota APM dan lima penduduk kampung, ditangguhkan pada 6.00 petang.
Operasi SAR akan disambung semula esok bagi meneruskan pencarian mangsa.
Oleh Akun Giman





