
SIBU: Masyarakat di kawasan Bawang Assan digesa untuk sentiasa bekerjasama dengan ketua masyarakat masing-masing bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan berterusan di kawasan tersebut.
Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, berkata hanya melalui semangat kerjasama dan perpaduan, pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong merupakan usaha yang baik kerana ia menggalakkan semangat kebersamaan. Setiap pembangunan di sesuatu kawasan memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.
“Jangan sesekali menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada ketua masyarakat. Saya tahu beberapa ahli majlis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pemimpin tempatan benar-benar prihatin terhadap kebajikan penduduk, terutama semasa musim banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sukaneka Keluarga dan Mini Air Fiesta yang diadakan di SJK(C) Kwong Hua, Sungai Sadit, Jalan Sungai Maaw.
Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu bersama-sama menjayakan apa jua aktiviti, kerana kejayaan sesuatu program tidak akan tercapai tanpa kerjasama padu.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Gereja Methodist Ching Ang dan JKKK Sungai Sadit Kanan kerana berjaya menganjurkan program sempena sambutan Hari Buruh.
“Ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk masyarakat berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain, sekali gus menggalakkan semangat perpaduan dan memperkukuh hubungan komuniti.
“Kekuatan sesebuah komuniti bermula daripada peranan setiap keluarga serta penyertaan dan keprihatinan seluruh penduduk,” katanya.
Beliau turut memuji kepelbagaian acara yang dianjurkan seperti permainan air, pertandingan dan aktiviti interaktif antara ibu bapa dan anak-anak, yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggalakkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau, turut melahirkan penghargaan atas sambutan menggalakkan daripada masyarakat terhadap penganjuran program tersebut.
“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan telah menjayakan program kita hari ini. Saya berterima kasih kepada semua pihak penganjur atas usaha menganjurkan majlis ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa barisan pemimpin masyarakat sentiasa komited memberikan yang terbaik dalam berkhidmat kepada rakyat dan membawa lebih banyak program seumpamanya demi kesejahteraan komuniti.
Oleh Akun Giman