Sarawak, Hainan perkukuh kerjasama perhutanan mampan, sasar MoU lima tahun pada 2027

Facebook
WhatsApp
WAKIL Jabatan Hutan Sarawak dan HFG bergambar selepas pemeteraian LOU bagi memperkukuh kerjasama perhutanan mampan di Sarawak. Foto: Forest Department Sarawak

KUCHING, 13 Oktober: Jabatan Hutan Sarawak dan Hainan Forestry Group (HFG), China, memeterai Surat Persefahaman (LOU) hari ini bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan perhutanan mampan, penyelidikan, inovasi serta perkongsian kepakaran teknikal.

Pemeteraian LOU itu menjadi satu pencapaian penting dalam usaha memperluas hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak, susulan kunjungan hormat HFG ke Jabatan Hutan Sarawak pada 13 Mei lalu serta perbincangan lanjut mengenai potensi kerjasama strategik.

Kerjasama tersebut merangkumi pelbagai bidang, termasuk pengurusan hutan mampan, pemulihan landskap hutan, pemuliharaan biodiversiti, pembangunan ladang hutan industri, pemuliharaan dan pemulihan hutan bakau serta pendigitalan sektor perhutanan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, pertukaran pengetahuan dan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan keupayaan teknikal serta menyokong pengurusan sumber hutan secara lebih berkesan.

Kedua-dua organisasi juga sedang berusaha ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2027 yang dijangka menyediakan rangka kerja kerjasama lebih menyeluruh untuk tempoh lima tahun.

MoU yang dicadangkan itu dijangka merangkumi pelaksanaan program penyelidikan bersama, pertukaran teknikal, projek perintis, tapak demonstrasi serta inisiatif pembangunan kapasiti.

Delegasi Hainan diketuai Pengurus Besar Hainan New Green God Tropical Bioengineering Co. Ltd., Dai Ling, yang merupakan anak syarikat Hainan Forestry Group, bersama lima lagi wakil daripada kedua-dua organisasi.

Wakil daripada Perbadanan Kemajuan Industri Perkayuan Sarawak (STIDC) turut dijemput menyertai perbincangan serta menyaksikan majlis pemeteraian LOU berkenaan.

Perbincangan turut meneroka peluang kerjasama dan pelaburan bersama dalam sektor pemprosesan hiliran kayu serta pembangunan produk hutan bernilai tinggi.

Antara bidang yang dikenal pasti ialah penghasilan produk kayu kejuruteraan, pulpa dan kertas serta bahan api biojisim dengan menggunakan kayu daripada ladang hutan sebagai bahan mentah.

Kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, pengukuhan keupayaan teknikal dan pelaksanaan inisiatif praktikal yang dapat menyokong pembangunan industri perhutanan Sarawak secara mampan.

Usaha berkenaan juga berpotensi memperluas nilai tambah sektor perkayuan melalui pembangunan produk hiliran, sekali gus meneroka peluang baharu dalam penggunaan sumber hutan secara bertanggungjawab dan berdaya saing.

Oleh Adi Safarman