MUKAH, 13 Oktober: Taktik seorang lelaki tempatan yang menjadikan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Petanak sebagai lokasi penjualan air ketum akhirnya tumpas selepas diserbu pihak polis dalam satu operasi petang tadi.
Operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sekitar 6.45 petang itu berjaya membongkar aktiviti haram berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, pemeriksaan di lokasi kejadian membawa kepada penahanan suspek selepas dia sendiri menyerahkan sebuah botol plastik lutsinar mengandungi cecair berwarna hijau keruh yang disyaki air ketum kepada pihak berkuasa.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berumur 53 tahun itu mengaku telah terlibat secara aktif dalam aktiviti menjual air ketum sejak Oktober 2025 lagi.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas cecair disyaki air ketum berkenaan yang dianggarkan berisipadu sebanyak 2,700 mililiter,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek turut mendedahkan bahawa bekalan daun ketum berkenaan diperoleh dari Kampung Ensengei, Simunjan, malah dia sempat menjual sebanyak dua botol air ketum kira-kira 3.00 petang sebelum premisnya digempur.
Suspek seterusnya dibawa ke Pejabat Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Meskipun ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah, lelaki berkenaan kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
IPD Mukah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan secara berterusan demi membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dan penjualan bahan terlarang di daerah ini.
Oleh Adi Safarman




