Tujuh buaya ditangkap di Sungai Baram, terbesar 5.24 meter

Facebook
WhatsApp
DITANGKAP...Antara tujuh ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi di Sungai Baram di Marudi, dengan reptilia terbesar berukuran 5.24 meter.

MIRI, 13 Oktober: Sebanyak tujuh ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi di Sungai Baram di Marudi , dengan reptilia terbesar berukuran 5.24 meter.

Operasi hari ini dilaksanakan Team Eric Cat dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Menerusi hantaran di Facebook, Eric Cat memaklumkan buaya paling besar yang ditangkap dalam operasi berkenaan berukuran 17.2 kaki (5.24 meter), manakala yang terkecil sepanjang 8.3 kaki (2.53 meter).

“Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha menangani konflik manusia dan hidupan liar, selain meningkatkan keselamatan penduduk yang tinggal atau menjalankan aktiviti berhampiran sungai berkenaan,” menurut hantaran  itu.

Kerjasama Team Eric Cat dan Perbadanan Perhutanan Sarawak dalam operasi itu turut menyokong usaha pengurusan hidupan liar serta mengurangkan risiko ancaman buaya terhadap komuniti setempat.

Oleh Liong Chai Ling