SIMANGGANG: Seorang pemandu tersepit dan cedera di bahagian kaki kanan selepas lori yang dipandunya itu mengalami kemalangan yang berlaku di Simpang Jalan Kejatau Baru, di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut sekitar 9.24 pagi.
BBP Sri Aman yang diperkuatkan seramai lapan orang anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 1, Noor Faqriakmal Jamari telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) BBP Sri Aman di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua lori 10 tan.
“Seorang mangsa masih tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami cedera di bahagian kaki kanan,” katanya.
PGO berkata operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa yang berusia 32 tahun itu seteeusnya diserahkan kepada pihak ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke Hospital Sri Aman bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Oleh Adi Safarman