KUCHING: Seorang lelaki berusia 52 tahun tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Canna, malam ini.
Dalam kejadian sekitar 8.37 malam itu, mangsa ditemui masih berada di dalam sebuah Toyota Vios dengan pintu kenderaan tidak dapat dibuka dari luar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.37 malam sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.45 malam dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum memberikan bantuan CPR,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mengulas lanjut, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Kemalangan berkenaan turut membabitkan tiga kenderaan lain iaitu Honda BR-V, Honda CR-V dan Toyota Harrier.
“Operasi dikawal pada 8.50 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada 9.39 malam selepas semua tindakan berkaitan selesai,” jelasnya.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM turut berada di lokasi bagi membantu pengurusan kejadian.





