
SIBU: Sebuah lori melanggar kenderaan jenis pikap dari arah belakang selepas pemandunya disyaki mengalami serangan jantung di Jalan Tun Zaidi Adruce, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian berlaku sekitar 11.36 pagi, mangsa pemandu lori berusia 38 tahun, lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis pikap yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun berhenti semasa lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat jalan Tun Zaidi Adruce, dan telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang dipandu oleh mangsa yang disyaki mengalami serangan sakit jantung.
“Akibat kemalangan, mangsa dalam keadaan terbaring di dalam lori telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Oleh Akun Giman