Pertandingan Catur Remaja Petronas 2026 cungkil bakat muda Sarawak

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang merakam kenangan bersama para peserta Pertandingan Catur Remaja PETRONAS 2026 yang berlangsung di SK One Garden City, Bintulu, hari ini.

BINTULU: Seramai 143 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Pertandingan Catur Remaja Petronas Sarawak 2026 yang berlangsung di SK One Garden City, di sini, hari ini.

Pertandingan membabitkan kategori Bawah 12 Tahun dan Bawah 18 Tahun itu menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh Sarawak selepas beberapa siri pertandingan diadakan di Bintulu, Miri, Sibu dan Kuching sepanjang tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran pertandingan berkenaan merupakan hasil kolaborasi antara Petronas dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dalam menyokong pembangunan potensi serta kecemerlangan murid melalui aktiviti pendidikan dan kokurikulum.

Menurutnya, pertandingan catur yang bermula pada 2024 itu terus berkembang pada 2025 dengan penglibatan peserta dari Bintulu, Miri, Kuching dan Sibu sebelum diperluaskan lagi pada tahun ini hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan (JPNS).

PIHAK Petronas menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Johnny Pang Leong Ming atas sokongan beliau terhadap penganjuran Pertandingan Catur Remaja Petronas 2026.

“Pada tahun 2026, penganjuran ini diperluaskan lagi dengan sasaran sekitar 1,200 penyertaan daripada pelbagai sekolah di Sarawak, termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama dan sekolah berasrama.

“Perkembangan ini jelas memperlihatkan bahawa Pertandingan Catur Remaja Petronas merupakan platform yang merentas jenis sekolah dan daerah, serta menyediakan ruang kepada lebih ramai murid untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam sukan catur,” katanya ketika merasmikan penutupan pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran pertandingan itu bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing, malah membantu mereka mengembangkan pemikiran kritis, kreatif dan strategik melalui permainan yang memerlukan perancangan serta penyelesaian masalah.

Katanya, penglibatan dalam sukan catur turut membentuk nilai positif dalam diri pelajar termasuk disiplin, kesabaran, ketelitian, keyakinan diri, daya tahan dan semangat kesukanan.

JOHNNY pang sedang berucap pada majlis penutupan Pertandingan Catur Remaja Petronas 2026 yang berlangsung di SK One Garden City, Bintulu, hari ini.

“Menang sememangnya satu kejayaan tetapi belajar menerima kekalahan, menganalisis kesilapan dan bangkit semula untuk mencuba dengan strategi yang lebih baik juga merupakan satu bentuk kejayaan.

“Inilah nilai yang kita mahu lahirkan dalam pendidikan, murid yang bukan sahaja mempunyai ilmu, tetapi mampu berfikir, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menghadapi cabaran dengan tenang dan yakin,” katanya.

Dalam pada itu, Johnny turut menghargai komitmen Petronas dalam menyokong pembangunan modal insan menerusi penganjuran pertandingan berkenaan, termasuk sumbangan 200 jam catur kepada Jabatan Pendidikan.

Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan usaha bermakna dalam memperluaskan pembangunan bakat muda melalui sukan catur dan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi masing-masing.

Beliau berkata, pertandingan seperti itu turut mampu memberi impak besar terhadap kemenjadian sekolah dengan memperkukuh budaya kecemerlangan kokurikulum, mengaktifkan kelab catur di sekolah serta meningkatkan kompetensi guru pembimbing.

“Apabila sekolah mempunyai ekosistem kokurikulum yang aktif dan berkualiti, kita bukan sahaja melahirkan pemain catur yang hebat, tetapi turut membina sekolah yang cemerlang, berdaya saing dan menjadi kebanggaan komuniti setempat.

“Dengan cara ini, Pertandingan Catur Remaja Petronas boleh berkembang menjadi satu pentas pembangunan bakat dan pemikiran strategik yang lebih besar untuk Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya tidak melihat pertandingan semata-mata sebagai medan untuk mengejar kemenangan, sebaliknya menjadikan setiap permainan sebagai pengalaman dan peluang untuk memperbaiki diri.

“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap buah catur mempunyai peranan dan setiap langkah mempunyai makna. Begitu juga dalam kehidupan. Kita perlu belajar merancang, berani membuat keputusan dan sentiasa melihat ke hadapan.

“Kalah hari ini bukan bererti gagal. Menang hari ini bukan bererti selesai. Yang penting ialah kita terus belajar dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, pertandingan berkenaan menjadi platform untuk meraikan bakat, usaha, ketekunan dan keberanian golongan muda dalam mencabar diri untuk menjadi lebih baik.

Menurutnya, catur bukan sekadar permainan, malah mengajar peserta untuk berfikir sebelum membuat keputusan, merancang beberapa langkah ke hadapan, kekal tenang ketika berdepan tekanan serta belajar daripada kesilapan.

“Setiap langkah di atas papan catur memerlukan pemikiran, strategi dan keberanian untuk membuat keputusan. Nilai-nilai ini juga penting dalam kehidupan kerana ia membantu generasi muda menghadapi cabaran dengan lebih yakin dan matang,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan pada skala lebih besar itu membolehkan lebih ramai bakat muda dari seluruh Sarawak diberi peluang untuk mengasah kemahiran, membina keyakinan diri dan mengembangkan potensi masing-masing.

“Menariknya, terdapat peserta yang pernah menyertai pertandingan ini dan kini berpeluang bersaing di pentas Sukan Malaysia (Sukma) mewakili Sarawak. Ini menunjukkan bahawa platform seperti ini mampu membuka laluan kepada pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Norazibah berkata, Petronas komited untuk terus menyokong pembangunan bakat dan potensi generasi muda menerusi program yang memberi nilai tambah kepada pendidikan serta pembangunan kokurikulum.

“Kami berharap pertandingan ini bukan sahaja melahirkan pemain catur yang hebat, tetapi turut membentuk generasi muda yang berfikiran strategik, berdisiplin, berdaya tahan dan berani membuat keputusan,” katanya.

Pada pertandingan itu, adik Osmond Liu Yong Qing dinobatkan sebagai juara kategori Bawah 18 Tahun, manakala adik Fidelis Fyron Frankie muncul juara kategori Bawah 12 Tahun.

Pertandingan Catur Remaja Petronas 2026 diharap terus menjadi platform untuk mencungkil bakat, membina karakter dan melahirkan generasi muda Sarawak yang berfikiran tajam, berdaya tahan serta berani memimpin.

Oleh Faizah Muzidi

Zulhafiz sambar emas kedua Sarawak

SHAH ALAM: Tiga perlawanan, tiga kemenangan 2-0, itulah perjalanan sempurna Mohamad Zulhafiz Zulhadi dalam misi menghadiahkan emas kedua buat Sarawak