Warga emas maut dibaham buaya ketika cari siput di Niah

Facebook
WhatsApp
MAUT... Warga emas maut disambar buaya di sebuah anak sungai yang merupakan cabang Sungai Suai, Niah hari ini.

NIAH: Seorang wanita warga emas maut disambar buaya ketika mangsa masih berada dalam perahu dalam usaha mencari rezeki mencari siput bersama anaknya di sebuah anak sungai yang merupakan cabang Sungai Suai, di sini, hari ini.

Pada kejadian itu, anak mangsa telah berada di dalam sungai, kira-kira satu meter dari perahu, sempat menyaksikan kejadian berkenaan.

Mangsa berusia 78 tahun maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.26 pagi ketika berada di dalam sebuah perahu sebelum disambar reptilia berkenaan secara tiba-tiba.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, buaya tersebut mengheret mangsa sekitar 10 meter dari perahu sebelum melepaskannya selepas dikepung oleh penduduk kampung yang berada berhampiran.

LOKASI kejadian seorang wanita warga emas maut disambar buaya ketika berada dalam perahu di sebuah anak sungai cabang Sungai Suai, Niah, hari ini.

“Mangsa kemudian ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke jeti berhampiran.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi dan tiba di lokasi pada 11.58 pagi, selepas menempuh perjalanan kira-kira 32 kilometer dari Balai,” katanya kenyataan itu.

Tambahnya, pasukan bomba menjalankan pemantauan di lokasi dan mendapati keadaan selamat serta terkawal.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada 1.45 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.

Oleh Adum Liu