BINTANGOR: Dua individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Myvi di Jalan KJD Meradong, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 12.56 tengah hari.
Katanya, operasi dijalankan oleh komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khadijah Sarakawi dan empat anggota bomba.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Myvi.
“Seorang mangsa di kenderaan Perodua Alza telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa terus ke hospital.
“Manakala empat orang mangsa Perodua Myvi, dua masih berada di dalam kenderaan tersebut namun tidak tersepit dan dua lagi telah dikeluarkan oleh orang awam dan dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pasukan bomba kemudian membantu mengeluarkan dua mangsa yang masih berada di dalam Perodua Myvi menggunakan pengusung sebelum membawa mereka ke tempat selamat.
“Kedua-dua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, dua mangsa yang cedera ringan tersebut merupakan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 33 tahun.
Sementara itu, maklumat dan status kecederaan mangsa yang menaiki Perodua Alza belum diperoleh.
“Operasi menyelamat di lokasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.38 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek





