Pemain Pickleball MAKSAK Bintulu diingatkan jaga disiplin, nama baik bahagian

Facebook
WhatsApp
1. RAKAM KENANGAN… Datu Nyurak Keti bergambar bersama Pasukan Pickleball MAKSAK Bahagian Bintulu selepas Sesi Amanat dan Penyerahan Bendera pasukan di Bintulu, semalam.

BINTULU: Pemain Pasukan Pickleball Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Bintulu diingatkan supaya mengekalkan disiplin dan menjaga nama baik bahagian itu ketika menyertai Kejohanan MAKSAK Sarawak Games 2026: Pickleball Antara Bahagian Sarawak.

Residen Bahagian Bintulu yang juga Pengerusi MAKSAK Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti berkata, penyertaan dalam kejohanan itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada prestasi di gelanggang, malah pemain turut membawa nama MAKSAK Bahagian Bintulu.

Menurutnya, aspek disiplin perlu diberi perhatian termasuk memastikan kehadiran pemain sebelum perlawanan bermula serta menjaga tingkah laku sepanjang kejohanan.

“Pastikan kita hadir lebih awal sebelum permainan dimulakan. Tunjukkan disiplin kita sebagai pemain,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sesi Amanat dan Penyerahan Bendera Pasukan Pickleball MAKSAK Bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu semalam.

AMANAT…Datu Nyurak Keti menyampaikan amanat kepada pasukan Pickleball MAKSAK Bahagian Bintulu pada Sesi Amanat dan Penyerahan Bendera pasukan di Bintulu, semalam.

Datu Nyurak turut mengingatkan pemain supaya mengambil berat keadaan kesihatan masing-masing dan tidak memaksa diri untuk bertanding sekiranya berasa kurang sihat.

“Sekiranya kita berasa kurang sihat, jangan paksa diri untuk bermain. Kita perlu mengutamakan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, pemain yang berdepan masalah kesihatan perlu segera memaklumkan perkara itu kepada pengurus atau jurulatih bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, kejohanan itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penjawat awam dari seluruh Sarawak, selain memberi peluang kepada peserta berkenalan dengan rakan-rakan dari bahagian lain.

“Objektif kita adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain. Ini juga peluang untuk kita berkenalan dan berinteraksi dengan rakan-rakan penjawat awam dari bahagian lain,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Kenyalang Pickleball Central, Bintulu itu disertai 17 pasukan, melibatkan 12 bahagian di Sarawak dan lima agensi jemputan khas.

Dalam pada itu, Datu Nyurak berharap pasukan Bintulu dapat memberikan saingan terbaik dan berusaha mencapai kejayaan, selain menerima sebarang keputusan dengan semangat kesukanan.

“Sudah tentu kita berharap untuk muncul juara. Namun, dalam pertandingan, kita perlu menerima apa jua keputusan dengan hati terbuka dan tidak mudah berputus asa. Kita akan terus berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya melakukan pemanasan badan secukupnya sebelum turun ke gelanggang bagi mengurangkan risiko kecederaan.

Ujarnya, pemain perlu peka terhadap keadaan fizikal masing-masing dan mendapatkan nasihat pengurus atau jurulatih sekiranya berasa tidak selesa sebelum atau sepanjang perlawanan.

Datu Nyurak turut mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang terpilih mewakili MAKSAK Bahagian Bintulu serta berharap mereka dapat memberikan komitmen terbaik sepanjang kejohanan.

Sesi itu juga menyaksikan penyerahan bendera Pasukan Pickleball MAKSAK Bahagian Bintulu sebagai simbol amanah kepada pemain untuk membawa nama bahagian berkenaan pada peringkat negeri.

Oleh Carolyne Utih