The Cats ajar pasukan ‘oppa’, Gangwon FC pulang tangan kosong

Facebook
WhatsApp
WIRA KEMENANGAN... Safawi Rashid meraikan jaringan ketika membantu Kuching City FC menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam ini. Foto Kuching City FC

PETRA JAYA, 5 November: Kuching City FC mencatat kemenangan bergaya apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam aksi keempat Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Pemain kebangsaan, Safawi Rashid muncul watak utama kemenangan The Cats apabila meledak dua gol pada separuh masa pertama untuk memberikan kelebihan selesa kepada tuan rumah.

Kuching City terlebih dahulu menyangka mereka sudah membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Etame, namun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid selepas penyerang itu menyudahkan hantaran lorongan Safawi dalam situasi satu lawan satu.

Safawi kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-19 apabila menyudahkan hantaran lintang rendah Ramadhan Saifullah dengan kawalan kemas sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Gangwon.

Kuching City hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-32 menerusi Etame, namun sekali lagi gol penyerang itu dibatalkan kerana ofsaid.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Gangwon melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Lee Eun-ho, Jung Seung-been dan Yoo Byung-heon bagi memperkuatkan cabaran mereka.

Kuching City turut terpaksa melakukan pertukaran pada minit ke-56 apabila Declan Lambert mengalami kecederaan sebelum digantikan João Pedro.

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak kemudian melakukan tiga lagi pertukaran pada minit ke-75 dengan memasukkan Dylan Wenzel-Halls, Ryan Lambert dan Filemon Anyie bagi menggantikan Safawi Rashid, Nazmi Faiz serta Ariff Farhan.

Ahmad Israiwah turut diberikan peluang beraksi apabila menggantikan Kaishu Yamazaki pada minit ke-83.

Bagaimanapun, keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat untuk menghadiahkan Kuching City tiga mata berharga di laman sendiri.

Kemenangan itu juga menyaksikan The Cats membalas kekalahan 0-1 kepada Gangwon dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Korea Selatan pada 29 Oktober lalu.

Safawi Rashid dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM) selepas persembahan cemerlang yang menyaksikannya menjaringkan kedua-dua gol kemenangan tuan rumah.

Seramai 3,216 penonton hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Oleh Shahrul Qaizat