





KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini belayar ‘Kembara D’ Astana Ke Lingga.
Seawal jam 6.00 pagi dari Jeti Terminal Penumpang Kuching, Pending, mereka menaiki katamaran Damai Princess diiringi bot-bot interceptor Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Pasukan Polis Marin dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.
Pelayaran mengambil masa kira-kira tiga jam 30 minit itu menyusuri perairan sungai Sarawak dengan hentian pertama di Kampung Triso, Daerah Betong.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan juga berkesempatan menikmati pemandangan indah di sekitar Muara Tebas yang memperlihatkan keunikan landskap pesisir sungai, pembinaan Jambatan Sejingkat yang hampir siap merentasi sungai Sarawak ke Tanjong Bako, serta aktiviti komuniti setempat turut mencuri perhatian, sekali gus menambah seri pelayaran pagi tadi.
Sewaktu hampir tiba di persisiran Kampung Triso, Tun Pehin Sri dan Toh Puan menikmati keindahan pemandangan kawasan yang penuh nostalgia dan kenangan zaman kanak kanak Tun seperti Pulau Burong, Pulau Triso Laut (tempat dimana Tun Pehin Sri mengikuti ayahanda beliau memburu burung), Batu Penyengat, Batu Penyencang, Batu Ular, Batu Dondang, dan Batu Kudik.
Selain itu, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut berkesempatan menyaksikan perkembangan pesat kawasan sekitar, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar yang menghubungkan Sebuyau-Triso menjadi antara mercu tanda baharu pembangunan infrastruktur negeri.
Suasana tenang di sepanjang laluan sungai dengan latar kehijauan dan angin pagi yang nyaman menjadikan perjalanan ini satu pengalaman yang cukup bermakna sebelum rombongan tiba di destinasi pertama di Kampung Triso.