KUCHING: Bagi kemasukan warganegara dan bukan warganegara dari luar negara ke Sarawak, mereka dikehendaki untuk menjalani ujian rT-PCR tiga hari sebelum masuk ke Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata setelah bermesyuarat semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat beberapa keputusan seperti itu untuk kemasukan ke Sarawak.
“Setibanya di Sarawak, mereka wajib menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang disediakan.
“Ujian secara rawak rT-PCR juga akan dilakukan untuk setiap penerbangan masuk ke Sarawak,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 di sini semalam.
Beliau berkata JPBN turut memutuskan untuk melanjutkan penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan di daerah Padawan.
“Berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak) telah memutuskan melanjut penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan bagi dua (2) sekolah menengah melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah.
“Penangguhan juga dilanjutkan ke 23 sekolah rendah melibatkan Tahun 1, 2, 3, 4, 5 dan 6 di daerah Padawan ke 3 Ogos 2020.
“Bagi kelas prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa,” ujar Uggah.
Dalam perkara lain, bagi pemantauan pematuhan PKPP, sebanyak 1,895 premis telah dipantau iaitu pasar raya (310), restoran (402), kilang (19), bank (190), pejabat kerajaan (53), penjaja (64), pasar tani/awam (81), tempat ibadah (73), tempat riadah (64), tapak pembinaan (15) dan lain-lain (624) semalam.
“Seramai 696 anggota pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (346), ATM (39), RELA (152), APM (94), PBT (50), KKM (10), dan Lain-lain agensi (5) terlibat dalam program itu.
“PDRM telah membuat empat (4) tangkapan yang melibatkan GRO warga asing di Mukah kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah dan 46 kes dikeluarkan kompaun kerana didapati mengingkari serta tidak mematuhi Garis Panduan (SOP).
“Daripada jumlah 46 kes tersebut, 34 kes adalah di pusat hiburan di Kuching dan 12 kes adalah di pusat hiburan di Mukah,” katanya
Uggah berkata setakat semalam juga terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah sempena Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1).
“Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,260 jumlah kenderaan telah diperiksa,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna