IPOH: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif projek rintis penerapan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital di lebih banyak sekolah pondok di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata projek rintis yang bermula sejak Julai lepas itu sedang dilaksanakan di institusi pondok di Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.
Beliau berkata program itu wajar diperluas susulan memberi impak yang sangat baik dalam kalangan pelajar di institusi terlibat.
“Insya-Allah, program ini akan berakhir pada Disember 2026 dan kita pun sudah melihat kesan dan juga impak yang sangat baik di Darul Furqan ini melalui pembentangan oleh pelajar hari ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI), termasuk pemanfaatan kemudahan Digital Maker Hub (DMH) di Pondok Darul Furqan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Pondok Darul Furqan Dr Zaini Shafiai.
Zulkifli berkata menerusi program itu, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada ilmu turath, agama dan akademik, malah turut dilengkapkan dengan kemahiran AI, metasemesta, robotik serta teknologi digital.
Beliau turut menegaskan bahawa penerapan kemahiran AI dan teknologi digital tidak akan mengubah institusi pendidikan pondok kepada sekular, sebaliknya ia memperkasakan lagi ilmu bagi menghadapi realiti semasa.
“Sepertimana yang telah pun dikongsikan dalam muzakarah ulama turath sebelum ini, ia benar-benar untuk memberdaya serta memperkukuhkan lagi institusi pondok dan turath. Pada masa sama, kita nak mempertahankan legasi dan juga tradisi.
“Ini maknanya ia adalah sinergi, gabungan, integrasi antara ilmu turath dan juga dunia teknologi kerana kita melihat sekiranya kita gabungkan, ia akan mempersiapkan anak-anak kita dengan kemampuan dari segi ilmu turath dan ilmu mendepani realiti,” katanya.
Beliau berkata Digital IPI yang dilaksanakan melalui kemudahan DMH di Pondok Darul Furqan juga boleh dijadikan rujukan kepada institusi pondok di seluruh negara.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata bagi aspek fasiliti pula, agensi berkaitan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempunyai kepakaran dan pengalaman yang diperlukan dalam melaksanakan program tersebut.
“Kita boleh lihat dalam masa lebih kurang tiga bulan, kita nampak bagaimana anak-anak tadi sudah mula menguasai serta boleh menghasilkan produk-produk dan juga pembentangan (berkaitan AI) yang sangat meyakinkan,” katanya.
Digital IPI yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac 2026 adalah usaha memperkenalkan kemahiran digital dan teknologi kepada institusi pendidikan Islam.
Kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.5 juta, dengan RM550,000 bagi setiap institusi untuk penyediaan aset dan peralatan teknologi, termasuk komputer riba, papan pintar interaktif, rangkaian internet, peralatan robotik, aplikasi dan perisian serta kemudahan sokongan.
Setakat 20 September 2026, latihan pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh MDEC telah memberi manfaat kepada 930 individu termasuk 200 guru daripada sasaran 3,000 orang. – Bernama




