Abdul Karim ucap takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap kepada media selepas usai majlis Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), hari ini.

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini.

Abdul Karim berkata, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga Tun Dr Mahathir, termasuk anak-anak mereka, malah kepada rakyat Malaysia.

“Saya pun baru mendapat berita ini kerana saya baru sampai dari Miri dan sekejap tadi terus datang ke sini. Jadi, ingin merakamkan ucapan takziah kepada Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini dan berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. Allahyarhamah meninggalkan suami dan tujuh anak.

Menurut Abdul Karim, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara individu penting yang menjadi tulang belakang kepada Tun Dr Mahathir ketika menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Untuk seseorang pemimpin menerajui, selalunya di belakangnya amat penting. Dan di situlah tulang belakang Tun Mahathir semasa menerajui Malaysia adalah Tun Siti Hasmah,” katanya.

Abdul Karim berkata, sumbangan Allahyarhamah kepada Tun Dr Mahathir amat besar sepanjang tempoh beliau memimpin negara.

Katanya, era kepimpinan Tun Dr Mahathir menyaksikan banyak perubahan berlaku di Malaysia dan sumbangan Allahyarhamah turut memainkan peranan dalam membantu beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

“Ini adalah satu kehilangan besar kerana era Tun Mahathir, bagaimanapun kita melihat beliau sekarang ini, adalah era yang agak cemerlang untuk Malaysia, di mana kita melalui banyak perubahan dan sumbangan daripada Allahyarhamah Siti Hasmah mestilah begitu banyak sekali untuk Tun Mahathir dapat bergerak seperti itu,” katanya.

Abdul Karim sekali lagi menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir, keluarga dan anak-anak beliau atas pemergian Allahyarhamah.

“Sekali lagi salam takziah kepada Tun Mahathir dan juga keluarga, anak-anak beliau,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud