PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera menerusi pendekatan lebih bersepadu dengan memberi tumpuan kepada pengembangan perusahaan, pembangunan bakat, pembiayaan, akses pasaran dan penyertaan dalam sektor berimpak tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara inisiatif utama ialah kerangka strategik 3-7-20 yang memberi tumpuan kepada penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, pembangunan Juara Perniagaan Serantau serta penskalaan perusahaan mikro kepada syarikat Sendirian Berhad.
“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera melalui pendekatan yang lebih bersepadu, dengan fokus kepada pengembangan perusahaan, pembangunan bakat, pembiayaan, akses pasaran dan penyertaan dalam sektor berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera Bil. 2/2026 di Putrajaya, hari ini.
Kerangka 3-7-20 itu mencatat pencapaian penting apabila United Asiapac Energy Berhad berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September 2026, dengan permodalan pasaran RM192.50 juta dan dana RM48.74 juta berjaya diperoleh.
Menurut Awang Tengah, sembilan lagi syarikat Bumiputera Sarawak telah dikenal pasti ke arah penyenaraian, termasuk dua yang disasarkan pada 2027.
“Kerajaan Sarawak juga akan memperluas penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti hidrogen, petrokimia, pembuatan termaju, aeroangkasa dan semikonduktor, selaras dengan PCDS 2030,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri menggalakkan kolaborasi antara syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui usaha sama, perkongsian teknologi, pembangunan vendor dan akses pasaran.
“Pendekatan ini penting untuk membentuk ekosistem perniagaan Sarawak yang lebih holistik, inklusif dan saling melengkapi, serta membolehkan syarikat tempatan berkembang bersama dalam rantaian bekalan serantau dan global,” katanya.
Dalam aspek pembangunan bakat, Awang Tengah berkata usaha turut diperkukuh melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills serta kerjasama dengan agensi Persekutuan.
Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM250 juta bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) mulai 2026.
Awang Tengah berkata kerjasama erat antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, selain kolaborasi lebih kukuh antara sektor awam dan swasta, penting bagi membangunkan ekosistem perusahaan yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing.




