
PHUKET: Seorang lelaki warga Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di pulau peranginan popular di Wilayah Phuket pagi semalam.
Menurut laporan Polis Thailand, mangsa, seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun berasal dari Selangor, tiba di Thailand pada 8 Mei bersama lebih 20 pelancong Malaysia.
“Mangsa telah diaturkan sebilik bersama tiga orang rakan. Pada kira-kira jam 1.00 pagi Jumaat (waktu tempatan), polis menerima laporan daripada petugas hotel bahawa seorang pelancong telah terjatuh dari bangunan,” menurut laporan itu pada Jumaat.
Laporan Polis Thailand turut memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Patong, Wilayah Phuket, pada 1.30 pagi Jumaat akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Sementara itu, ketika dihubungi, pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa jenazah telah dituntut oleh waris pada pagi Sabtu.
“Pihak konsulat telah membantu menguruskan jenazah dari daerah Patong ke wilayah Sadao melalui jalan darat sehingga sempadan Bukit Kayu Hitam. Ahli keluarga mangsa dijadualkan membawa jenazah ke Sungai Buloh untuk urusan pengebumian,” menurut pihak Konsulat Malaysia.
Pihak Konsulat juga membantu menguruskan permit pengebumian di Malaysia.– Bernama