Dua lelaki Jerman ditahan selepas aksi tampal lukisan di dewan Mona Lisa

Facebook
WhatsApp
MONA Lisa yang kini dilindungi lapisan kaca pelindung tebal tidak mengalami sebarang kerosakan dalam kejadian itu. Foto Fail AFP

PARIS, Perancis: Dua lelaki warga Jerman ditahan pada Sabtu (waktu tempatan) selepas mereka melekatkan dua lukisan pada dinding dewan yang menempatkan karya agung Mona Lisa di Muzium Louvre di Paris, menurut sumber polis.

Kedua-dua lelaki itu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan dua lukisan berukuran 30 x 40 sentimeter di dewan berkenaan yang menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat karya agung Leonardo da Vinci itu.

Satu daripada lukisan tersebut memaparkan seorang daripada lelaki berkenaan memakai perisai, manakala satu lagi merupakan potret kedua-dua lelaki itu bersama seorang wanita.

Pegawai keselamatan muzium menahan kedua-dua lelaki berkenaan sebelum menghubungi polis yang kemudian menahan mereka atas kesalahan menyebabkan kerosakan kecil pada dinding. Ketika disoal siasat polis, mereka berkata tindakan itu dilakukan sekadar untuk berseronok.

Kedua-dua lelaki itu akan dipanggil untuk hadir ke mahkamah selepas pihak muzium membuat laporan rasmi berhubung kerosakan tersebut, menurut sumber polis.

Mona Lisa yang kini dilindungi lapisan kaca tebal tidak mengalami sebarang kerosakan dalam kejadian itu.

Pegawai muzium kini meningkatkan tahap kewaspadaan berikutan beberapa kejadian kecurian di muzium dan galeri di Perancis sejak kebelakangan ini, yang mendedahkan kelemahan keselamatan dalam beberapa kes serta mencetuskan persoalan sama ada kumpulan penjenayah menganggap premis berkenaan sebagai sasaran mudah.

Muzium Louvre sendiri menjadi sasaran pada Oktober tahun lalu apabila lapan barangan kemas bernilai jutaan dolar dicuri dalam kejadian rompakan pada waktu siang.

Walaupun empat suspek telah ditahan, barangan kemas yang dicuri masih belum ditemukan meskipun pencarian secara meluas dijalankan penyiasat Perancis.

Kejadian pecah masuk itu mengejutkan dunia, mencetuskan rasa malu kepada Perancis serta mendedahkan beberapa kelemahan keselamatan, termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV) muzium yang ketinggalan zaman.

Sebahagian besar kelemahan keselamatan muzium itu telah dikenal pasti dalam audit yang dijalankan pada 2019 atas arahan pihak muzium, namun hasil audit berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

Louvre menerima kira-kira sembilan juta pengunjung tahun lalu, jauh melebihi kapasiti yang dirancang, sekali gus menyebabkan masalah kesesakan.

Pada Mei lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan rombakan besar-besaran terhadap muzium berkenaan yang akan merangkumi ruang baharu untuk Mona Lisa serta pintu masuk muzium yang baharu. – AFP

PEKEMA sedia hadapi peralihan pengguna kepada EV

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) melihat peralihan cita rasa pengguna daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan