Imigresen Filipina percepat penggunaan kamera badan untuk pegawai di lapangan terbang

Facebook
WhatsApp
KAMERA badan untuk pegawai imigresen Filipina di lapangan terbang . Foto agensi

MANILA: Biro Imigresen Filipina (BI) mempercepat penggunaan kamera badan dengan keupayaan rakaman suara bagi semua pegawai yang bertugas di lapangan terbang sebagai langkah memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan pemantauan operasi imigresen.

Pesuruhjaya BI Joel Anthony Viado berkata pihaknya menyasarkan semua pegawai imigresen di lapangan terbang dilengkapi kamera berkenaan menjelang akhir Oktober, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Langkah ini bukan sekadar untuk merekodkan urusan pegawai kami. Kamera badan akan memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan pemantauan, selain menjadi pencegah kepada mana-mana anggota yang mungkin cuba menyalahgunakan kedudukan mereka,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Langkah itu diambil ketika siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung cubaan seorang individu yang dipercayai berpotensi menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan pengambilan pekerja secara haram untuk meninggalkan negara menerusi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Parañaque City pada 12 September.

BI menamatkan perkhidmatan seorang kakitangan kontrak dan menggantung tugas dua pegawai imigresen daripada tugasan di lapangan terbang, dengan seorang daripada mereka telah ditahan Biro Siasatan Kebangsaan (NBI).

Viado berkata tindakan pentadbiran itu berasingan daripada penentuan sebarang liabiliti jenayah, yang bergantung kepada hasil siasatan NBI.

Siasatan itu turut bertujuan mengenal pasti pihak yang membantu atau menguruskan penumpang berkenaan sejak beliau memasuki terminal sehingga tiba di kawasan imigresen, termasuk sama ada terdapat anggota yang membantu melancarkan proses pelepasan imigresennya.

BI turut menyiasat kemungkinan penglibatan atau pengetahuan kakitangan lapangan terbang lain, termasuk pihak berkepentingan mengenai kejadian itu.

“Kami perlu menentukan keseluruhan kronologi kejadian dan mengenal pasti setiap individu yang mungkin berhubung atau membantu penumpang berkenaan di dalam terminal.

“Berdasarkan keadaan kejadian, siasatan kami tidak boleh hanya tertumpu kepada apa yang berlaku di kaunter imigresen,” kata Viado.

Beliau menegaskan BI tidak akan membenarkan salah laku segelintir anggota menjejaskan pencapaian dan kredibiliti yang dibina oleh agensi itu.

“Saya memberi amaran tegas kepada semua anggota BI: jangan salah guna kedudukan dan jangan terlibat dalam kegiatan haram. 

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar undang-undang atau menyalahgunakan kuasa,” kata beliau. – Bernama