KUCHING: Golongan remaja di Sarawak telah mula menerima imunisasi Covid-19 secara berperingkat bermula semalam sehingga hujung minggu ini.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, di kawasan Pantai Damai terdapat tiga buah pusat pemberian vaksin kepada remaja bawah 18 tahun.
“Klinik Kesihatan Telaga Air telah beroperasi selama empat bulan yang lepas sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Telaga Air, dan kini diteruskan untuk memberikan suntikan kepada pelajar sekolah bawah 18 tahun.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan usia 12 hingga 17 tahun untuk mula divaksinasi. Keputusan ini adalah satu langkah yang baik dilaksanakan oleh KKM untuk memperluaskan liputan vaksinasi seluruh negeri.”
Tambah beliau, baru-baru ini terdapat kes Covid-19 yang melibatkan anak-anak muda bawah 18 tahun dan ini amat membimbangkan. Langkah ini adalah pendekatan yang baik dan memberi perlindungan kepada para remaja dengan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada mereka.
“Secara keseluruhan, seramai 550 orang pelajar kumpulan kedua akan menerima suntikan vaksin pada hari seterusnya dan di beberapa tempat lain di kawasan Pantai Damai, iaitu di SMK Santubong juga akan memberi vaksinasi kepada pelajar.
“Maklumat awal yang diterima oleh saya dari Pegawai Perubatan, semuanya berjalan lancar dengan bantuan Pengetua sekolah dan pihak guru, ibu bapa dan pelajar. Malah, para pelajar juga telah bersedia untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka.”
Jelasnya lagi, sekolah yang akan mula dibuka pada 3 Oktober tidak akan membimbangkan pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar untuk ke sekolah kerana mereka telah siap menerima vaksinasi.
“Harapan saya kepada sekumpulan masyarakat dan para belia, jangan takut untuk divaksinasi. Saya sarankan untuk anda datang ke Pusat Pemberian Vaksin kerana ini satu keperluan dan remaja yang tidak bersekolah pun disarankan untuk datang bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk tujuan perlindungan.”
Semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga berkesempatan berkunjung ke Pusat Pemberian Vaksin Telaga Air bagi Program Pemberian Vaksin Peringkat Negeri Sarawak untuk remaja bawah 18 tahun.
Oleh AZREEN KERIA