KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom (UK), yang meletakkan bayi yang baru dilahirkannya ke dalam kotak bijirin sejurus selepas dilahirkan pada Mac tahun ini dan menyembunyikan kotak itu di dalam beg pakaian, disabitkan dengan kesalahan membunuh.
Menurut laporan yang diterbitkan dalam laman web Crown Prosecution Service (CPS) UK, Jia Xin Teo, 22, disabitkan pada Khamis (24 Okt) di Mahkamah Warwick Crown atas satu pertuduhan membunuh.
Teo, yang menetap di Coventry, tiba di UK awal tahun ini untuk menyambung pengajian di Universiti Coventry.
Dalam usaha untuk menyembunyikan kehamilannya, dia yang melahirkan bayi itu pada 4 Mac lepas, meletakkan bayinya yang baru lahir di dalam kotak bijirin, sebelum membungkusnya dengan beg plastik dan menyimpan kotak itu di dalam beg pakaian.
Polis menemukan bayi itu dua hari kemudian, ketika itu bayi tersebut telah meninggal dunia.
Teo menafikan tuduhan membunuh bayinya sebaliknya berkata dia mendengar suara yang menyuruhnya membunuh bayi itu.
Bagaimanapun juri menolak pembelaan itu dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh. Teo dijadual dijatuhi hukuman pada 25 Okt (Jumaat).
James Leslie Francis dari CPS berkata Jia Xin Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenalinya dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan bersalin di sini.
“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk berahsia, malah sanggup berbohong kepada orang terdekat, penyedia penjagaan kesihatan dan polis.”
“Bayi Teo masih hidup selepas dilahirkan dan berpeluang untuk bertahan, tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin, mengetahui tindakan itu akan membunuhnya,” kata Francis seperti yang dipetik dalam laporan itu.
— BERNAMA